Rakam gambar wanita mandi, tukang masak didenda
Bernama
November 29, 2018 06:45 MYT
November 29, 2018 06:45 MYT
Seorang tukang masak dijatuhi hukuman denda RM7,100 atau lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan merakam dan memiliki gambar lucah rakan wanita serumahnya bulan lalu.
Majistret, Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Ong Siew Khong, 38, selepas dia mengaku bersalah melakukan kedua-dua perbuatan itu terhadap seorang wanita warga Filipina yang merupakan pekerja restoran di sebuah rumah di Damansara Jaya, di sini antara 11.30 pagi dan 1.45 tengah hari, 21 Oktober lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki gambar lucah di dalam telefon bimbitnya mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa telah berkelakuan aib dan tidak senonoh dengan merakam gambar wanita itu ketika sedang mandi mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM7,000 atau tujuh bulan penjara manakala bagi pertuduhan kedua, dia didenda maksimum RM100 atau sebulan penjara, jika denda gagal dibayar.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pengajaran terhadap tertuduh mengambil kira faktor kepentingan dan keselamatan awam.
"Dalam kes ini, ketenteraman mangsa telah diganggu kerana dia direkod ketika sedang mandi di rumah sendiri, oleh itu mohon satu hukuman yang dapat menginsafkan tertuduh," katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Suraj Singh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya sudah insaf selain berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama. - Bernama
#Damansara Jaya
#didenda
#Mahkamah Majistret
#merakam
#Ong Siew Khong
#pekerja restoran
#Seksyen 292 Kanun Keseksaan
#tukang masak
#wanita mandi
#warga filipina