Rakam gambar bekas timbalan menteri tidak menyalahi SOP - SKMM
Bernama
April 14, 2020 04:49 MYT
April 14, 2020 04:49 MYT
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan bahawa tindakan pegawainya merakam gambar seorang bekas Timbalan Menteri semasa sesi rakaman percakapan tidak menyalahi mana-mana prosedur operasi standard (SOP).
SKMM dalam kenyataan malam tadi menyebut rakaman gambar itu adalah sebahagian daripada tatacara untuk rekod sahaja, bagaimanapun gambar berkenaan berkemungkinan telah dikongsikan dengan pihak luar.
"Satu siasatan dalaman sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.
"SKMM tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku oleh pegawainya dan tindakan disiplin akan diambil jika individu bertanggungjawab itu didapati bersalah," menurut kenyataan itu.
Media Selasa melaporkan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh menggesa SKMM menyiasat pegawai yang menyebarkan gambarnya ketika rakaman siasatan dilakukan di Ibu Pejabat Daerah Kuantan, Pahang Jumaat lalu.
Fuziah dilaporkan berkata aduan mengenai perkara itu sudah dibuat bagi membolehkan SKMM mengambil tindakan terhadap pegawai yang terlibat jika didapati bersalah dan beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya satu perlanggaran SOP ketika soal siasat terhadapnya.
-- BERNAMA
#aduan
#Ahli Parlimen Kuantan
#bekas timbalan menteri
#Fuziah Salleh
#Gambar
#MCMC
#rakam
#Rekod
#siasatan
#SKMM
#SOP
#Timbalan Menteri
#tindakan disiplin