Rajeswari dilantik Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara
Bernama
Februari 13, 2025 11:50 MYT
Februari 13, 2025 11:50 MYT
Rajeswari menerima watikah lantikan daripada Menteri KESUMA, Steven Sim Kee Cheong.
PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia, Rajeswari Karupiah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) bagi tempoh 1 Feb 2025 hingga 30 Sept 2026.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Rajeswari yang merupakan wanita berbangsa India pertama dilantik memegang jawatan itu, mempunyai kepakaran lebih 32 tahun dalam undang-undang perhubungan industri, undang-undang pekerjaan dan perundangan korporat.
Beliau memiliki kelayakan akademik Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari University of London dan merupakan MCIArb Accredited Mediator.
"Sepanjang kerjaya beliau sebagai Pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia beliau telah memainkan peranan penting dalam menyelesaikan kes tertunggak hingga melebihi sasaran KPI yang telah ditetapkan.
"Beliau telah menyelesaikan lebih daripada 500 kes, melibatkan pemecatan pekerja, penstrukturan semula, pemberhentian kerja serta rundingan perjanjian kolektif," menurut kenyataan itu.
KESUMA memaklumkan, Rajeswari juga pernah berkhidmat dengan Bank Dunia di Washington D.C, Amerika Syarikat sebagai penasihat undang-undang serta terlibat dalam penambahbaikan dasar buruh Malaysia, termasuk pengenalan dasar gaji minimum untuk pekerja di negara ini.
"Dengan kepakaran mendalam dalam perhubungan industri, penggubalan dasar serta tadbir urus korporat, Rajeswari merupakan aset strategik dalam memastikan hala tuju perundangan yang kukuh, inovasi dasar, serta keseimbangan antara kepentingan pekerja dan majikan sejajar dengan objektif pembangunan ekonomi negara," menurut kenyataan itu. - BERNAMA