'Raja Ular' dipatuk tedung selar
Astro Awani
April 7, 2019 16:03 MYT
April 7, 2019 16:03 MYT
Meski pun dalam keadaan telah dipatuk tedung selar di tangan kanan, penjinak ular, Azri Ahmad, 50, tetap gigih menangkap kembali reptilia yang terlepas ketika sedang memasukkannya ke dalam karung.
Itu pengorbanan Azri dalam insiden pada kira-kira jam 1 petang Sabtu di Kampung Belukar dekat Abi.
Namun hari ini, dia dirawat di Zon Merah, Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan masih tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke ICU petang semalam.
Kata isteri mangsa, Siti Hawa Mohamad, 45, ketika itu dia dan suami dipanggil untuk membantu menangkap ular yang tersesat masuk ke kawasan penduduk.
Selepas berjaya menangkap kembali reptilia sepanjang 4 meter itu, Azri pulang ke rumah dan mandi sebelum memandu sendiri ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun sebaik tiba di hospital, Azri terus tidak sedarkan diri.
Begitu pun, menurut Siti Hawa, tekanan jantung suaminya dilaporkan stabil.
"Doktor kata setakat sekarang ini stabil. Maksudnya mereka sudah keluarkan bisa? Mereka sudah suntik antivenom dalam badan dia," kata Siti Hawa.
Azri merupakan penjinak dan penjaga ular di Taman Ular dan Reptilia Negeri Perlis yang sudah berkhidmat hampir 20 tahun di sana.
Sebelum ini Azri pernah dipatuk ular kapak di jari telunjuk kanan hingga terpaksa dipotong.