'Raja Sungai' jana pendapatan lumayan

Bernama
Ogos 22, 2021 10:00 MYT
Zulfadly Harun adalah antara tiga anak muda di Negeri Sembilan yang berjaya melakukan pembenihan dan penetasan anak ikan kelah. -Bernama
JELEBU: Minat yang mendalam terhadap penternakan ikan kelah yang berpotensi besar dalam pasaran tempatan, mendorong seorang pemuda di sini tekad meninggalkan kerjayanya dalam bidang penyiaran sejak enam tahun lepas, bagi mengusahakan ternakan 'raja sungai' itu.
Tindakan berani diambil Zulfadly Harun, 41, nyata membuahkan hasil apabila beliau menjadi antara tiga anak muda di negeri ini yang berjaya melakukan pembenihan dan penetasan anak ikan kelah, sekali gus menjadi antara pengeluar utama hidupan air itu di Negeri Sembilan.
Beliau yang turut berjaya membina tempat penetasan sendiri iaitu 'Tebat Sanctuary' di Kampung Simpang Gelami di sini bersama lima lagi sahabatnya itu berkata, mereka mampu meraih pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit setahun melalui ternakan kelah.
"Saya terlibat dalam bidang penyiaran lebih lima tahun dan banyak terlibat dalam dokumentari yang berkisarkan hutan, hidupan air dan sebagainya, jadi minat yang ada dalam diri tidak hilang malah saya aplikasikan pengetahuan itu dalam kerjaya saya ketika itu.
"Bagaimanapun, saya ingin cuba sesuatu yang baru lebih-lebih lagi datuk saya dulu pun ada menternak ikan, tapi hanya dalam skala kecil jadi saya ambil keputusan balik kampung untuk teruskan hobi saya sejak kecil itu," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurut usahawan akuakultur itu, ikan kelah atau nama saintifiknya 'Tor Tambroides' menjadi antara hidangan eksotik di negara ini, dan mendapat permintaan tinggi serta harga mahal di pasaran memandangkan ia merupakan hidupan yang jarang jumpa, selain mempunyai khasiat untuk kesihatan.
Katanya populasi ikan itu yang semakin berkurangan, susulan pencemaran sungai dan pemburuan haram turut mendorongnya untuk serius menceburi bidang itu, selain menyokong usaha Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS), dalam memperbanyakkan lagi spesis kelah di perairan negeri.
Bercerita lanjut, pemuda kelahiran Seremban ini berkata, beliau memulakan projek itu pada 2015 menggunakan modal sendiri dengan kos keseluruhan hampir setengah juta, di tanah berkeluasan lima ekar milik keluarganya selain turut mengikuti kursus di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI Glami Lemi) di sini.
Jelasnya selain tangkap liar di sungai, benih kelah berkenaan juga dibeli daripada pembekal di seluruh negara termasuk di Terengganu, Johor dan Perak, dan sehingga kini lebih 10,000 anak benih berjaya dibiakkan di tempat penetasannya, serta jumlah induk terkini sekitar 100 ekor.
Menurut Zulfadly bagi kaedah pembiakan, induk kelah betina akan disuntik hormon 'ovaprime' untuk tujuan kesuburan dan merangsang ikan berkenaan mengeluarkan telur dalam kapasiti yang banyak, kira-kira 1,000 anak benih bagi setiap seekor induk.
"Proses berkenaan dilakukan empat kali setahun dan kadar pembesaran ikan kelah adalah 30 peratus lebih cepat, berbanding kelah liar yang hidup di habitat asalnya," katanya dan menambah terdapat beberapa spesis lain diternak di tempatnya termasuk terbol dan sebarau.
Zulfadly berkata, kelah berkenaan dijual mengikut saiz dengan minimum RM10 seekor untuk ikan berukuran satu ke dua inci kepada pelanggannya di seluruh negara, sama ada untuk tujuan hiasan dan makanan, namun susulan Perintah Kawalan Pergerakan permintaan untuk hidupan air itu turut merosot.
Mengakui pernah menemui kegagalan pada peringkat awal pembabitannya dalam bidang tersebut, susulan kekurangan pengetahuan mengenai penjagaan ikan, namun ia tidak mematahkan semangat anak muda ini meskipun kerugian ribuan ringgit.
"Ada kejadian banyak ikan mati disebabkan bekalan elektrik terputus dan ikan dalam kolah kekurangan oksigen, rugi banyak ketika itu, jadi untuk atasi kita guna generator bagi membekalkan elektrik secara berterusan," jelasnya sambil berkata kelah memerlukan penjagaan yang sangat rapi berbanding ikan air tawar yang lain.
Menurutnya, JPNS sering turun padang memantau projek ternakan ikannya, selain turut mendapat sokongan dan peralatan termasuk kursus, kemudahan mesin pam air dan tangki fiber.
Mengenai perancangan masa depannya, Zulfadly berkata beliau berhasrat membina sebuah lagi panti benih mini, bagi membantu penternak khususnya golongan muda dalam menghasilkan benih kelah sendiri tanpa bergantung kepada benih liar, sekali gus melindungi benih itu daripada dieksploitasi secara berlebihan.
Sementara itu, Pengarah JPNS Halimi Abu Hanip berkata pihaknya sentiasa memberi galakan kepada orang ramai, yang berminat menceburi bidang penternakan ikan termasuk dari segi khidmat teknikal, kursus dan bantuan tertentu.
"Mereka juga boleh memohon bantuan input akuakultur dengan syarat telah berdaftar dengan JPNS, dan sekurang-kurangnya sudah mengeluarkan hasil buat kali pertama, manakala bagi anak muda yang berumur di bawah 40 tahun boleh memohon skim bantuan Agropreneur Muda," katanya.
Halimi berkata pihaknya juga komited membantu golongan muda yang bersungguh-sungguh untuk menceburi bidang tersebut, berikutan ia memberikan pulangan tinggi kepada penternak sekali gus mampu meningkatkan lagi pengeluaran hasil akuakultur di negeri ini.
-- BERNAMA

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#kelah #ikan #Jelebu #raja sungai #ikan sungai #ternakan kelah #akuakultur #Zulfadly Harun #Tebat Sanctuary #kampung simpang gelami #weekender #santai hujung minggu
;