Raja Salman Abdulaziz diberi sambutan negara di Dataran Parlimen
Bernama
Februari 26, 2017 16:51 MYT
Februari 26, 2017 16:51 MYT
Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud yang tiba untuk memulakan lawatan negara empat hari ke Malaysia, diberi sambutan negara di Dataran Parlimen di sini, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menyambut ketibaan Raja Salman, yang melakukan lawatan sulungnya ke negara Asia Tenggara ini yang mempunyai 30 juta penduduk, pada 11.50 pagi.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri Kabinet.
Upacara sambutan dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Sungai Besi disusuli dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.
Raja Salman yang juga Penjaga Dua Masjid Suci kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama RAMD yang diketuai Mejar Azlan Shah Baharum.