Raja-raja Melayu zahir ucapan takziah pemergian Taib Mahmud
Bernama
Februari 21, 2024 18:30 MYT
Februari 21, 2024 18:30 MYT
SHAH ALAM: Raja-raja Melayu menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, pagi tadi.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa selain ditempatkan bersama-sama para syuhada serta orang-orang yang beriman.
Sultan Selangor turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh yang besar jasanya kepada negeri Sarawak dan Malaysia.
"Allahyarham juga telah memberikan komitmen dan kerjasama penuh semasa mesyuarat Majlis Raja-Raja sepanjang berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak," menurut hantaran di laman Facebook Selangor Royal hari ini.
Sementara itu, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada Sarawak dan negara.
"Semoga Allah SWT menerima segala amal baktinya, mengampunkan segala dosanya dan menempatkan Allahyarham bersama para solehin dan beroleh jannah-Nya," menurut kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi Kesultanan Pahang.
-- BERNAMA