Raja Permaisuri tinjau proses tenunan Songket Sarawak di Penjara Puncak Borneo

Astro Awani
Mac 29, 2022 19:07 MYT
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meninjau proses tenunan songket ketika melawat Pusat Vokasional Industri Songket SARAPRIDE Penjara Puncak Borneo Kuching, hari ini. -- Foto BERNAMA
KUCHING: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meninjau proses tenunan Songket Sarawak ketika melawat Pusat Vokasional Industri (PVI) Songket SARAPRIDE Penjara Puncak Borneo hari ini.
Dalam lawatan rasmi hari kedua ke Sarawak itu baginda juga dipersembahkan dengan pelbagai karya seni sulaman songket dan selendang Sarawak yang dihasilkan oleh warga penjara di rumah tenun.

Melalui kursus tenunan songket dan keringkam yang diperkasakan melalui Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), warga Penjara Puncak Borneo berjaya menghasilkan sejumlah 289 kain songket dan empat helai selendang sejak November 2019.

Susulan itu, pada 26 Januari lalu, satu memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan Sarawak dan Jabatan Penjara Malaysia telah dimeterai.
Menerusi MoU tersebut, kerajaan Sarawak menluluskan peruntukan sejumlah RM6 juta bagi pembinaan bengkel songket SARAPRIDE di bawah p ojek Warisan Old Kuching Heritage (OKSHE) yang menyasarkan pembinaan 100 rumah tenun atau dukan di bahagian itu.

Terdahulu baginda juga berkenan melawat beberapa pusat pelancongan di Sarawak. Antaranya Muzium Kebudayaan Borneo selain merasmikan Galeri Songket dan Keringkam di Jalan Masjid, di sini.

Permaisuri Agong dijadualkan berangkat pulang ke Istana Negara di ibu negara pada Rabu.

Turut menemani baginda sepanjang lawatan antaranya isteri kepada Premier Sarawak, Datuk Amar Jumaani Tun Tuanku Bujang dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
#Raja Permaisuri Agong #Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah #Songket Sarawak #Penjara Puncak Borneo
;