Raja Permaisuri berkenan ziarah pasangan kembar siam pramatang

Bernama
Mac 25, 2022 05:00 MYT
HTA sebelum ini memaklumkan hospital itu mencipta sejarah apabila buat julung kalinya berjaya melakukan pembedahan memisahkan pasangan kembar siam pramatang berusia 17 hari pada 19 Mac lepas. - Foto Facebook/Istana Negara
KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menziarahi pasangan kembar siam pramatang yang berjaya dipisahkan melalui pembedahan oleh pasukan Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur.
Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka disambut oleh Pengarah HTA Dr Shamsul Anuar Kamarudin, Timbalan Pengarah HTA Dr Marina Abdullah Sani dan Pakar Perunding Pembedahan Kanak-Kanak HTA Datuk Dr Zakaria Zahari.
HTA sebelum ini memaklumkan hospital itu mencipta sejarah apabila buat julung kalinya berjaya melakukan pembedahan memisahkan pasangan kembar siam pramatang berusia 17 hari pada 19 Mac lepas.
Pembedahan itu diketuai Dr Zakaria dan membabitkan 13 doktor pakar termasuk enam pakar bedah kanak-kanak dari seluruh negara serta hampir 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak.
Semasa lawatan pada Jumaat itu, Tunku Azizah turut berkenan meluangkan masa melawat bayi atresia biliari yang baru menjalani pembedahan pemindahan hati yang diterima daripada ayahnya.
"Seri Paduka Baginda mendoakan agar semua bayi tersebut berada dalam keadaan yang baik dan segera pulih serta dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain," menurut catatan itu.
-- BERNAMA
#Raja Permaisuri #bayi pramatang #Pembedahan #HTA Kuala Lumpur
;