Raja Permaisuri Agong mahu ahli Pandu Puteri Malaysia praktikkan program WAGGGS

Bernama
Februari 26, 2023 16:25 MYT
Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Peringatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023. di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Turut berangkat Sultanah Nur Zahirah. - Gambar BERNAMA
KUALA NERUS: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mahu semua pemimpin dan ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) menerapkan dan mempraktikkan sepenuhnya program Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) bagi menangani isu-isu semasa berkaitan kanak-kanak, remaja dan wanita.
Seri Paduka yang juga Penaung Diraja PPPM bertitah, model kepimpinan WAGGGS dapat membentuk ahli PPPM menjadi insan yang berdisiplin tinggi dengan akhlak terpuji, seterusnya menjadi contoh dan tonggak kepada kepimpinan negara pada masa hadapan.
Seri Paduka bertitah program Stop The Violence (STV) yang diberi penekanan dalam WAGGGS misalnya, berupaya membantu menangani keganasan terhadap wanita, kanak-kanak dan remaja perempuan melalui aktiviti peningkatan kesedaran, sokongan, pendidikan serta penyelidikan dalam komuniti.
"Semua sedia maklum bahawa seluruh dunia menumpu kepada kesaksamaan gender dan memperkasa wanita serta gadis.
"Oleh itu, saya suka mengingatkan bahawa kempen sokongan utama WAGGGS secara global adalah untuk menamatkan keganasan terhadap kanak-kanak, remaja perempuan serta wanita melalui STV," titah baginda pada Sambutan Hari Peringatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 PPPM di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Seramai 2,000 ahli PPPM daripada 18 cawangan seluruh negara menghadiri sambutan tersebut yang bertemakan Dunia Kita, Masa Depan Kita Yang Damai: Persekitaran Dan Keamanan.
Turut berangkat, Penaung Diraja PPPM Terengganu, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertua PPPM Perak, Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Hadir sama, Yang Dipertua PPPM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Selain itu, Raja Permaisuri Agong turut mengingatkan semua pemimpin dan ahli PPPM supaya berkongsi ilmu program Surf Smart dengan masyarakat bagi memperkasa dan menggalakkan penggunaan Internet secara bertanggungjawab dan selamat.
"Kita juga perlu membina keyakinan dalam kalangan wanita muda terhadap perawakan tubuh sendiri melalui programm Action On Body Confidence And Free Being Me (FBM) yang dijalankan dengan kerjasama komuniti.
"Program ini penting kerana memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran seseorang untuk kehidupan dan bukannya berdasarkan perawakan dan bentuk badan," titah baginda. - BERNAMA
#Raja Permaisuri Agong #Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah #Pandu Puteri #Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia
;