Raja Permaisuri Agong gembira kejayaan Simposium Tekstil Tradisional Asean ke-8

Bernama
September 29, 2022 15:14 MYT
Raja Permaisuri Agong berkenan bergambar kenang-kenangan bersama peserta Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 pada majlis penutup simposium bertemakan Celebrating Textiles: A Journey di Putrajaya hari ini. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merakamkan penghargaan terhadap usaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8, selama enam hari yang menutup tirainya hari ini.
"Kepada ahli jawatankuasa yang telah berusaha dan bekerja sebagai satu pasukan, dari lubuk hati yang penuh ikhlas, beta mengucapkan terima kasih kepada mereka. Hari ini, kita harus meraikan kejayaan rancangan selama lima bulan acara itu.
"Terima kasih atas kerja keras anda bagi menjayakan acara ini," titah baginda pada majlis penutupan simposium itu, di sini, hari ini.
Bertemakan "Celebrating Textiles: A Journey", simposium anjuran Yayasan Tenun Pahang Diraja itu mempamerkan keindahan tekstil Malaysia termasuk songket dan batik, serta teknik pembuatan tekstil seperti tekat, tenun, telepuk dan menggerus untuk dipelajari oleh masyarakat dunia.
Simposium dwitahunan itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 26 Sept.
Tunku Azizah turut menzahirkan terima kasih kepada Singapura kerana membuka jalan kepada Malaysia mengadakan Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8.
"Sebenarnya, Singapura sepatutnya menjadi tuan rumah, tetapi beta memohon kepada Singapura untuk memberi laluan kepada Malaysia," titah Tunku Azizah sambil menambah acara itu pada mulanya dirancang untuk diadakan tahun lepas tetapi ia ditangguhkan kerana pandemik COVID-19.
Sempena majlis penutup itu, Tunku Azizah menyerahkan bendera simposium secara simbolik kepada tuan rumah seterusnya iaitu Laos yang diwakili Duangmala Phommavong untuk simposium tekstil tradisional pada 2024.
Sementara itu, Phommavong mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan menganjurkan simposium edisi ke-8 itu dan berkata beliau memperoleh pengalaman menerusi keunikan dan kepelbagaian seni, budaya serta etnik di Malaysia.
"Saya telah mempelajari banyak mengenai tekstil Malaysia serta persembahan kebudayaan," katanya sambil menyampaikan jemputan kepada perwakilan untuk menghadiri simposium di Laos. - BERNAMA
#Raja Permaisuri Agong #Simposium Tekstil Tradisional ASEAN #Celebrating Textiles A Journey #tekstil Malaysia
;