Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Kompleks Darul Hanan

Bernama
April 7, 2023 17:30 MYT
Raja Permaisuri Agong turut memuji Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang yang menyediakan kemudahan serba lengkap untuk kemudahan warga emas yang ditempatkan di situ. - Gambar/ Bernama
KEPALA BATAS: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan Kompleks Darul Hanan Pulau Pinang di Pongsu Seribu, Kepala Batas di sini yang menempatkan seramai 80 warga emas.
Raja Permaisuri Agong tiba di Kompleks Darul Hanan Pulau Pinang pada 12 tengah hari diiringi isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Khadijah Mohd Nor dan isteri Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Lean Kee.
Baginda ketika bertitah merasmikan Kompleks Darul Hanan Pulau Pinang itu menzahirkan rasa terharu dengan segala kelengkapan di situ kerana dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya pusat gimnasium, pusat spa dan bilik penginapan yang selesa.
Baginda turut memuji Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang yang menyediakan kelengkapan serba lengkap untuk kemudahan warga emas yang ditempatkan di situ.
"Saya sedih melihat (Kompleks Darul Hanan Pulau Pinang) ini kerana sepatutnya tanggungjawab kita sebagai anak-anak untuk menjaga ibu bapa kita namun dengan adanya Kompleks Darul Hanan yang serba lengkap itu,ia dapat menjaga (ibu bapa).
"Saya begitu terharu tengok segala kelengkapan yang ada di Kompleks Darul Hanan Pulau Pinang ini, saya memuji kerajaan negeri yang menyediakan kelengkapan dan fasiliti serba lengkap dan tahniah jugak kepada kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Yayasan Albukhary yang terlibat pengurusan di sini," titah baginda semasa merasmikan Kompleks Darul Hannan Pulau Pinang, di sini hari ini.
Baginda juga berkenan meluangkan masa melawat warga emas yang berada di Kompleks Darul Hanan dan turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada mereka.
Raja Permaisuri Agong turut bercemar duli menanam pokok dan sesi bergambar bersama barisan kakitangan Kompleks Darul Hanan sebelum turut meninjau keseluruhan kawasan dan kemudahan kompleks tersebut.
Sementara itu, Tan semasa berucap berkata Kompleks Darul Hanan Pulau Pinang telah beroperasi sejak 1 Feb 2010 dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang kondusif dan selesa bagi mengisi aktiviti warga emas di situ.
"Kompleks itu diuruskan oleh sebuah badan bukan kerajaan iaitu Badan Kebajian Rumah Warga Emas Darul Hanan di bawah naungan MAINPP dan ketika ini ia memberi perkhidmatan jagaan serta perlindungan kepada 80 penghuni berusia 57 hingga 90 tahun dengan dibantu oleh 41 kakitangan," katanya.
Raja Permaisuri Agong bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berada di Pulau Pinang sempena lawatan tiga hari sehingga esok.
-- BERNAMA
#Raja Permaisuri Agong #Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah #Kompleks Darul Hanan #pulau pinang
;