Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Floria Diraja Putrajaya 2024
Bernama
Ogos 22, 2024 11:50 MYT
Ogos 22, 2024 11:50 MYT
PUTRAJAYA: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan menyempurnakan perasmian Floria Diraja Putrajaya 2024 serta melawat tapak festival di Persisiran Tasik, Presint 2 yang mempamerkan pelbagai spesies dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Pada majlis itu, Raja Zarith Sofiah dipersembahkan dengan hibrid baharu orkid species Vanda yang dinamakan 'Vandachostylis Queen Zarith Sofiah' sebagai kenang-kenangan daripada Perbadanan Putrajaya (PPj).
Penganjuran Floria Diraja Putrajaya kali ke-13 anjuran PPj dengan sokongan Jabatan Wilayah Persekutuan, bertemakan "Raikan Bersama" dibuka kepada pengunjung bermula hari ini sehingga 1 Sept.
Bermula sejak 2007, Floria Diraja Putrajaya 2024 juga merupakan satu daripada produk pelancongan PPj bertaraf antarabangsa yang telah menarik ribuan pelancong dan pengunjung dari dalam dan luar negara ke Putrajaya.
Bunga Petunia dipilih sebagai tema Floria Diraja Putrajaya 2024 kerana keunikan struktur pertumbuhan, keindahan warna kelopak bunganya yang cantik dan menjurai dapat menyuntik elemen estetika seumpama menerangi dan menceriakan para pengunjung.
Penganjuran Floria Diraja turut menyumbang kepada penzahiran model C.H.A.S.E City (clean, healthy, advanced, safe and eco-friendly city) terutama di Putrajaya.
-- BERNAMA