Raja Permaisuri Agong berkenan melawat pameran produk kraf Jordan di Amman

Bernama
Mei 31, 2023 07:00 MYT
Raja Permaisuri Agong diiringi Permaisuri Rania berkenan berangkat melawat pameran produk kraf Jordan River Design di Amman, pada Selasa. - Facebook Istana Negara
KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melawat pameran produk kraf Jordan River Design di Amman, pada Selasa.
Menurut catatan di Facebook Istana Negara, pameran tersebut mempamerkan produk rekaan hasil seni tradisional Jordan yang diselitkan elemen kontemporari.
Produk berkenaan dibuat oleh golongan wanita kurang bernasib baik dengan dibantu Jordan River Foundation.
"Permaisuri Jordan, Permaisuri Rania, merupakan pengerusi yayasan tersebut, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memfokuskan kepada keselamatan kanak-kanak dan pengukuhan komuniti.
"Produk yang dipamerkan turut dipasarkan ke seluruh dunia," menurut catatan itu.
Tunku Azizah kini berada di Amman, Jordan, mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi lawatan khas selama empat hari bermula Selasa atas persilaan Raja Jordan Raja Abdullah II.
Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat menghadiri Majlis Perkahwinan Diraja Putera Mahkota Jordan di Zahran Palace hari ini disusuli dengan keberangkatan ke Majlis Jamuan Sambutan Perkahwinan Diraja di Al Husseinieh Palace di Amman pada sebelah malam.
Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 2 Jun.
-- BERNAMA
#Raja Permaisuri Agong #produk kraf Jordan #Jordan #Permaisuri Rania
;