Raja Permaisuri Agong berkenan lawat Hospital Orang Asli Gombak

Bernama
Julai 23, 2024 04:15 MYT
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menerima cenderahati daripada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika melawat ke Hospital Orang Asli Gombak (HOAG), di sini hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan melawat Hospital Orang Asli Gombak (HOAG) di sini hari ini.
Lawatan Seri Paduka Baginda adalah sebahagian daripada acara sempena Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang berlangsung dengan penuh adat istiadat dan tradisi di Istana Negara pada Sabtu lepas.
Keberangkatan tiba Raja Zarith Sofiah pada 9.53 pagi disambut isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan isteri Menteri Besar Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad.
Turut mengiringi, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama isteri masing-masing.
Pada majlis itu, Dzulfkefly telah menyampaikan sembah ucapan kepada Raja Permaisuri Agong manakala Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Seri Norazman Ayob menyampaikan sembah taklimat mengenai HOAG kepada Raja Zarith Sofiah.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada HOAG yang diserahkan kepada pengarahnya Dr Izandis Mohamad Sayed.
Selain itu, Raja Permaisuri Agong juga dipersembahkan dengan Tarian Sidud iaitu tarian suku kaum Mah Meri oleh Kumpulan Main Jo'oh Tompoq Topoh dari Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey, Selangor.
Seri Paduka Baginda kemudian berkenan meluangkan masa setengah jam melawat pesakit di wad HOAG sebelum berangkat balik.
-- BERNAMA
#Raja Permaisuri Agong #Raja Zarith Sofiah #melawat #Hospital Orang Asli Gombak