Raja Permaisuri Agong berangkat tiba di Kuching, lawatan kerja rasmi empat hari

Azizah Alwi
Disember 4, 2022 16:19 MYT
Seri Paduka Baginda berangkat tiba di LTAK pada jam 1.26 petang Ahad.
KUCHING: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) bagi lawatan kerja rasmi selama empat hari ke Kuching.
Keberangkatan tiba Raja Permaisuri menggunakan pesawat khas pada jam 1.26 petang Ahad disambut oleh isteri Premier Sarawak, Puan Sri Juma'ani Tun Tuanku Bujang.
Raja Permaisuri Agong berkenan untuk mencemar duli melawat ke Kompleks Penjara Puncak Borneo iaitu Bengkel Songket Penjara Puncak Borneo petang Ahad.
Pada malam ini pula, Baginda dijangka menghadiri Food Over Fire Festival & Theatre di Fort Margherita, Kuching.
Pada keesokan hari, Baginda dijadualkan berangkat ke Damai Golf & Country Club, Santubong.
Manakala untuk tentatif sebelah petang, Baginda berkenan melawat Rumah Warisan Tan Sri Datuk Amar Abang Ahmad Urai di Jalan Muda Hashim bagi Pelancaran Kampung Heritage Trail.
Raja Permaisuri Agong akan berangkat pulang ke ibu negara pada Khamis, 8 Disember 2022.
Turut hadir menyambut keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
#Raja Permaisuri Agong #Lawatan kerja rasmi #Kuching #Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
;