Raja Permaisuri Agong akhiri lawatan rasmi ke Labuan
Bernama
November 6, 2024 18:00 MYT
November 6, 2024 18:00 MYT
LABUAN: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah mengakhiri lawatan rasmi sulung selama dua hari ke Labuan, sebuah pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa negara, dengan menghadiri majlis pengurniaan sumbangan kepada golongan asnaf hari ini.
Kurniaan sumbangan berkenaan ialah hadiah peribadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mencerminkan komitmen Seri Paduka Baginda berdua terhadap inisiatif amal dan sokongan kepada masyarakat.
Sebanyak 378 penerima terdiri daripada golongan asnaf, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas serta anak-anak Darul Kifayah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan menerima sumbangan bakul makanan, wang tunai dan barangan keperluan persekolahan di Kompleks Darul Kifayah di sini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abd Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) Datuk Noridah Abdul Rahim.
Raja Zarith Sofiah ketika bertitah berharap sumbangan itu dapat membantu meringankan beban yang ditanggung dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang berkenaan.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut menyeru agar keindahan Pulau Labuan dapat terus dipelihara dan dijaga dengan baik.
"Saya difahamkan terdapat pulau-pulau yang cantik di sekitar Labuan yang berpotensi untuk dijadikan pusat pelancongan selain destinasi selam skuba, saya harap ia akan terus diteroka untuk memberi manfaat kepada industri serta masyarakat setempat bagi menambah pendapatan," titah Seri Paduka Baginda.
Ketika kunjungan ke Kolej Matrikulasi Labuan semalam, Raja Permaisuri Agong dipersembahkan taklimat mengenai landskap pendidikan semasa dan berharap cabaran pendidikan di Labuan akan ditangani untuk memastikan pelajar mendapat sokongan sewajarnya dan tidak ketinggalan dalam sistem pendidikan negara.
Semasa lawatan ke Dewan Komuniti Kampung Sungai Lada pada Selasa, Seri Paduka Baginda mengagumi kepelbagaian kraf tangan tempatan, dan berharap industri kraf tangan di pulau ini akan terus berkembang hasil sokongan JWP dan Perbadanan Labuan.
"Sepanjang lawatan dua hari ini, saya telah melihat perpaduan unik dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di sini. Saya berharap semua pihak berkepentingan di pulau ini akan bekerjasama untuk meningkatkan kebajikan masyarakat setempat," titah Seri Paduka Baginda.
Raja Permaisuri Agong turut berkenan melawat Showcase Usahawan Pameran Program Usaha Jaya Insan (PUJI), satu inisiatif di bawah JWP dalam menangani isu sosioekonomi bagi memperkasa rakyat melalui penyediaan bantuan, program penjanaan pendapatan, keusahawanan, perlindungan sosial, pendidikan dan kesihatan.
Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat pulang ke Johor petang ini.
-- BERNAMA