Raja perlu dipersembah nasihat mengenai realiti - Sultan Nazrin

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 17, 2019 12:54 MYT
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (tengah) berkenan merasmikan Pameran Institusi Diraja Malaysia, Seminar Kesultanan Melayu Perak dan Pelancaran Buku Awang Had Salleh di Universiti Pendidikan Sultan Idris hari ini. - Foto Bernama
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Raja sewajarnya dipersembahkan sebaik nasihat mengenai realiti yang sedang berlaku dan aspirasi yang terkandung dalam pemikiran majoriti rakyat.
Titah baginda, ia perlu agar Raja benar-benar memahami, lantas melakukan pengubahsuaian tatalaku dan tataurusan, agar institusi ini kekal relevan, tidak dianggap sebagai cermin lama untuk melihat wajah yang tua.
Sebaliknya, baginda bertitah, institusi ini, kekal dan terus dihargai sebagai institusi yang berperanan dan berfungsi; diiktiraf sebagai institusi yang dinamik dan bertenaga, di samping berjaya merangkaikan tradisi dalam era modenisasi.
“Pemahaman dan apresiasi terhadap institusi raja akan bersifat elitis, berlegar dalam kalangan bangsawan dan elit akademik, jika institusi raja gagal difahami relevansinya oleh rakyat jelata.
“Pemahaman dan apresiasi terhadap institusi raja wajib dirakyatkan, kerana pada asal usulnya, raja itu diangkat ke takhta, didaulat dan ditabalkan oleh rakyat,” titah baginda.
Baginda bertitah merasmikan Seminar Kesultanan Perak, Pameran Institusi Diraja Malaysia dan Pelancaran Buku Awang Had Salleh : Lagenda Pendidikan Global Malaysia di Muzium Pendidikan Nasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, pada Khamis.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Mohamad Shatar Sabran.
Sultan Nazrin bertitah, peserta seminar perlu mencabar dan menganjakkan minda, menyeberangi sempadan baharu, ketika membicarakan mauduk kesultanan, agar pemikiran tidak terbendung dalam sebuah gedung ilmu, dan penemuan sekadar menambahkan timbunan bahan ilmiah tinggi, tetapi berakhir sebagai rujukan yang eksklusif dalam kalangan elit akademi.
Titah baginda, pendekatan yang lebih kontemporari dan relevan wajib diteroka dalam hasrat mahu menyemai pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan apresiasi warga, terutama warga muda terhadap sebuah institusi tradisi; institusi tradisi yang memberikan identiti kepada kerajaan dan negara Malaysia.
#Ahmad Faizal Azumu #Dr Mohamad Shatar Sabran #elit akademi #elitis #pendidikan #rakyat #Sultan Nazrin Muizzuddin Shah #Sultan Perak #tatalaku #Tuanku Zara Salim
;