Raja Nazrin mahu Perak terus dibangunkan
Bernama
Mei 7, 2013 13:03 MYT
Mei 7, 2013 13:03 MYT
Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah mahu kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) berusaha untuk membangunkan Perak menjadi sebuah negeri yang sejahtera.
Baginda bertitah setiap calon yang dianugerahkan kejayaan bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti.
Baginda menasihatkan semua pihak yang bertanding pada pilihan raya itu supaya memperlihatkan sikap saling bermaaf-maafan dan berusaha menyatukan rakyat bagi membina sebuah negara merdeka yang berdaulat makmur, aman lagi sejahtera.
"Sepanjang berkempen, pihak yang bertanding telah melakukan pelbagai usaha dan pendekatan untuk mendapatkan sokongan pengundi. Mungkin berlaku percakapan dan perbuatan yang telah menyinggung perasaan di antara satu sama lain. Pilihan raya telah pun selesai," titah baginda pada Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah di sini, hari ini.
Raja Nazrin turut mengucapkan tahniah kepada semua calon daripada semua parti yang berjaya mendapat kepercayaan rakyat dan mereka diingatkan supaya tidak memandang ringan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.
"Pada timbangan beta, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diperkenankan dilantik sebagai menteri besar Perak.
"Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada Zambry yang telah diperkenankan untuk diberi amanah dan tanggungjawab sebagai menteri besar kepada kerajaan beta," titah baginda.
Raja Nazrin bersyukur PRU13 berjalan dengan aman dan tenteram apabila rakyat telah memperlihatkan kematangan sehingga proses memilih kerajaan secara demokrasi dapat dilangsungkan.
Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah di sini.
Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor itu yang hadir diiringi isteri Datin Seri Saripah Zulkifli, mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia, di hadapan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah pada pukul 10.45 pagi.
Zambry yang berbaju Melayu lengkap berwarna hitam kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.