Raja Muda Selangor sertai walkaton sempena Hari Diabetes

Bernama
November 6, 2016 15:00 MYT
Tengku Amir Shah (tengah) berkenan menyertai para peserta walkathon sejauh 5km sempena Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2016 di Stadium Sultan Sulaiman, hari ini. - fotoBERNAMA
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyertai kira-kira 1,000 peserta acara walkaton bersempena Hari Diabetes Sedunia di sini hari ini.
Baginda bersama peserta berjalan kira-kira lima kilometer bermula di Stadium Sultan Sulaiman di sini dan mengelilingi bandar ini sebagai simbolik mempromosi gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran terhadap penyakit diabetes dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, baginda berkenan merasmikan Hari Diabetes Sedunia peringkat kebangsaan.
Pengerusi Persatuan Diabetes Malaysia Prof Datuk Dr Ikram Shah Ismail dalam ucapannya berkata badan-badan antarabangsa bimbang dengan pertambahan pesakit diabetes yang kini mencecah seramai 382 juta orang.
"Pada 2035 angka ini bakal meningkat kepada 592 juta pesakit," katanya.
Beliau berkata sebagai langkah mengawal peningkatan pesakit itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menetapkan kempen kesedaran dan pencegahan perlu dilaksanakan di peringkat global.
"Di Malaysia kesedaran rakyat mengenai bahaya penyakit diabetes masih rendah, ramai pengidap diabetes tidak tahu mereka menghidap penyakit itu," katanya.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Diabetes Malaysia cawangan Selangor, Datin Paduka Santha Kumari. -- Bernama
#hari diabetes sedunia #Raja Muda Selangor #tengku amir shah #walkaton
;