Raja Muda Selangor kurnia anugerah belia kepada tujuh penerima

Bernama
Disember 15, 2022 07:10 MYT
Raja Muda Selangor (tengah) berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani MoU di antara SAY, diwakili Nurul Azwa dan ASEAN Foundation diwakili Pengarah Eksekutif Dr Yang Mee Eng pada majlis di Petaling Jaya, 15 Dis 2022. --fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan anugerah kepada tujuh belia cemerlang sempena Sambutan Gala Ulang Tahun Kelima Selangor Youth Community (SAY) malam tadi.
Pengurniaan anugerah itu adalah bersempena sambutan pencapaian lima tahun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sejak penubuhannya pada 2017, bertemakan "Celebrating Achievements, Shaping Champions" (meraikan pencapaian, melahirkan juara).
Bekas Presiden Majlis Belia Selangor Mohammad Syafiq Ridzwan Jamaluddin menerima Anugerah Belia Raja Muda Selangor yang julung kali diberi, manakala Adab Youth Garage memenangi Anugerah Organisasi Belia Terbaik atas usaha mereka menyediakan akses kepada pendidikan dan peluang kepada belia kurang berkemampuan di kawasan perumahan kos rendah.
Sementara itu, Anugerah Kepimpinan SAY diberikan kepada Dhiyaul M. Asyraf bagi kategori kesenian dan kreatif, Daphne Ng Chiew Yen (sukan dan kesejahteraan), Jason Fung (keusahawanan) dan Hairul Abdullah (khidmat masyarakat), manakala Izzah Ezureen Mohamed Yusoff muncul Peserta Pasukan Terbaik.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif SAY Nurul Azwa Rodzi.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara SAY dengan Yayasan ASEAN yang merupakan kerjasama strategik menerusi inisiatif Belia Juara Seed Funding bertujuan memperkasa belia di negara-negara ASEAN dalam isu tempatan.
-- BERNAMA
#Raja Muda Selangor #anugerah belia #Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah #Selangor Youth Community
;