Raja Muda Perlis seru rakyat utamakan penjagaan kesihatan
Bernama
Januari 5, 2023 19:02 MYT
Januari 5, 2023 19:02 MYT
KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar rakyat di negeri ini mengambil langkah mengutamakan penjagaan kesihatan.
Titah baginda, langkah itu termasuk melakukan pemeriksaan kesihatan bagi mengesan penyakit lebih awal serta mengikut nasihat pakar perubatan untuk mendapatkan rawatan atau berkaitan pengambilan ubat-ubatan.
"Sebab kita tak mahu generasi kita ke hadapan ini merungut macam-macam, mengenai pembangunan dan sebagainya tapi mereka tidak sihat.
"Begitu juga tahun baharu, kita ada azam baharu, tapi azam tahun baharu itu tak berguna juga kalau tidak sihat," titah baginda pada majlis agihan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli di Masjid Alwi, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor; Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Eksekutif Editor Bernama, Harlina Samson.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, atas hal itu, MAIPs dan Jabatan Kesihatan Perlis mengadakan beberapa program pemeriksaan kesihatan termasuk pada hari ini yang boleh dimanfaatkan orang ramai.
Pada program tersebut seramai 140 golongan asnaf yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan menerima bantuan zakat menerusi program MAIPs Peduli.
Selepas majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin mengetuai program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli untuk mengunjungi kediaman tiga asnaf bagi menyampaikan sumbangan.
Sejak diadakan pada 2013, program Kayuhan MAIPs Peduli bersama Raja Muda Perlis telah menyantuni 38,995 asnaf dengan sejumlah RM24.77 juta sumbangan wang zakat diagihkan sehingga tahun lepas.
- BERNAMA
#Raja Muda Perlis
#Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
#Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
#MAIPs Peduli