Raja Muda Perlis sedih lihat kedaifan hospital
Bernama
Oktober 15, 2017 07:25 MYT
Oktober 15, 2017 07:25 MYT
Kekurangan kemudahan asas menjadikan Hospital 250 Bed District, berhampiran Cox Bazar di Bangladesh, menghadapi cabaran getir apatah lagi dengan hanya sebuah ambulans untuk membawa ribuan pelarian Rohingya yang perlukan rawatan ke hospital itu.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melihat suasana itu ketika berada hospital berkenaan, yang terletak kira-kira 300km dari ibu negara Dhaka itu, pada Ahad.
Baginda, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), mengetuai delegasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pelarian melawat hospital itu bagi melihat lebih dekat keadaan mangsa pelarian yang menerima rawatan di situ.
Delegasi tersebut berada di Cox Bazar pada Ahad dan Isnin sebelum ke Dhaka pada Selasa dan Rabu ini.
Menurut kenyataan MAIPs, baginda tersentuh dengan maklumat yang disampaikan pakar bedah hospital berkenaan, Dr. Pu Chaw Nu yang memaklumkan bahawa keperluan paling mendesak adalah ambulansyang kini hanya sebuah yang beroperasi berbanding ribuan pesakit yang memerlukannya.
Selain itu, kakitangan sokongan seperti pembantu perubatan dan doktor tidak mencukupi serta jumlah katil yang terhad sehingga memaksa pesakit diletakkan di atas lantai.
Memetik kenyataan pakar itu, hospital berkenaan memerlukan segera bantuan pelbagai pihak bagi menyediakan keperluan yang lebih wajar kerana ia membabitkan nyawa pelarian yang saban hari tidak putus memasuki Bangladesh.
Bilik bedah juga adalah terhad dan peralatan yang sedia ada juga hanya asas serta tidakdapat digunakan untuk pembedahan yang lebih rumit, menurut pakar itu.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, MAIPs bersedia membantu pihak yang berminat untukmembantu pelarian secara sukarela yang kini dianggarkan berjumlah setengah juta orang.
Baginda akan berbincang dengan pihak yang berkaitan bagi mencari penyelesaian kepada keperluan yang mendesak termasuk menambah jumlah ambulans.
-- BERNAMA
#Bangladesh
#Hospital 250 Bed District
#Raja Muda Perlis
#Rohingya
#Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail