Raja Kecil Bongsu Perak mangkat pada usia 71 tahun
Bernama
Mac 28, 2022 20:22 MYT
Mac 28, 2022 20:22 MYT
IPOH: Raja Kecil Bongsu Perak Raja Datuk Seri Izuddin Chulan Raja Zainal Azman Shah, mangkat pada usia 71 tahun akibat sakit tua dan masalah jantung di kediamannya di sebuah resort di Bandar Meru Raya di sini hari ini.
Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayob Hashim berkata kemangkatannya dimaklumkan, selepas menghembuskan nafas terakhirnya di sisi ahli keluarga pada kira-kira pukul 1.40 petang tadi.
"Jenazah akan dibawa ke Masjid Ubudiah Kuala Kangsar pada kira-kira pukul 8 pagi esok untuk disembahyangkan dan dibawa ke Makam Diraja Kuala Kangsar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Menurutnya Almarhum sebelum ini telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, atas masalah sakit jantung yang dihidapi.
Raja Izuddin Chulan dianugerahi gelaran Raja Kecil Bongsu Perak 27 Ogos 2016, dan diisyitihar secara rasmi dengan gelaran itu pada 1 Julai tahun sama.
Majlis angkat sumpah gelaran telah berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan Kuala Kangsar di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh ketika itu Datuk Samsudin Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
-- BERNAMA
#Raja Kecil Bongsu Perak
#mangkat
#sakit tua
#masalah jantung
#Izuddin Chulan Raja Zainal Azman Shah
#Bandar Meru Raya