Raja Harald V jalani prosedur memasang perentak jantung sementara
Astro Awani
Mac 2, 2024 21:03 MYT
Mac 2, 2024 21:03 MYT
LANGKAWI: Raja Norway, Raja Harald V dilaporkan memasang perentak jantung (pacemaker) sementara pada Sabtu di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.
Menurut Istana Norway, perentak jantung itu dipasang kerana kadar denyutan jantung baginda yang rendah.
Keputusan telah dibuat awal hari ini, dan prosedur itu berjaya.
Menurut doktor peribadi baginda, Bjorn Bendz, Raja Harald dalam keadaan baik dalam keadaan itu tetapi masih memerlukan rehat.
Katanya, prosedur itu menjadikan usaha membawa pulang baginda ke Norway lebih selamat.
Difahamkan usaha membawa pulang baginda ke Norway akan dilakukan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Pada bulan Disember, baginda dimasukkan ke hospital dengan jangkitan dan dirawat dengan antibiotik intravena.
Baginda yang dilihat menggunakan tongkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menjalani pembedahan untuk menggantikan injap jantung pada Oktober 2020 selepas dimasukkan ke hospital akibat kesukaran bernafas.
Tugas Harald V adalah sebagai Ketua Negara Norway bagi majlis dan upacara rasmi negara selain Baginda tidak mempunyai kuasa politik.