Raja Harald V akan dibawa pulang tidak lama lagi - Istana Norway
Kenyataan Media
Mac 3, 2024 13:21 MYT
Mac 3, 2024 13:21 MYT
LANGKAWI: Raja Norway, Raja Harald V yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi akan dibawa pulang tidak lama lagi.
Menurut kenyataan di laman web rasmi The Royal House of Norway, persiapan sedang dilakukan untuk membawa baginda berangkat ke Lapangan Terbang Langkawi diiringi Raja Permaisuri.
Menurut kenyataan itu lagi, setibanya di Norway, baginda akan dimasukkan ke Hospital Rikshospitalet.
Baginda akan bercuti sakit selama dua minggu, dan dalam tempoh itu, Putera Mahkota akan bertindak sebagai pemangku raja dan memikul tugas baginda.
Media pada Sabtu melaporkan baginda Raja Harald V telah berjaya menjalani pembedahan untuk memasang perentak jantung (pacemaker) sementara di Hospital Sultanah Maliha.
Menurut Istana Norway, perentak jantung itu dipasang kerana kadar denyutan jantung baginda yang rendah.
Menurut doktor peribadi baginda, Bjorn Bendz, Raja Harald V dalam keadaan baik dalam keadaan itu tetapi masih memerlukan rehat.
Katanya, prosedur itu menjadikan usaha membawa pulang baginda ke Norway menjadi lebih selamat.
Terdahulu, pada Disember, baginda Raja Harald V dimasukkan ke hospital dengan jangkitan dan dirawat dengan antibiotik intravena.
Baginda yang dilihat menggunakan tongkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menjalani pembedahan untuk menggantikan injap jantung pada Oktober 2020 selepas dimasukkan ke hospital akibat kesukaran bernafas.
Tugas Harald V adalah sebagai Ketua Negara Norway bagi majlis dan upacara rasmi negara selain baginda tidak mempunyai kuasa politik.