Raja Charles III sukar menandingi kegemilangan pemerintahan mendiang ibu

Faida Rahim
Mei 6, 2023 07:00 MYT
Peranan Raja Charles III untuk memberikan impak lebih signifikan terhadap perkara yang lebih utama dilihat agak terbatas. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Pengaruh Raja Britain baharu iaitu Raja Charles III dilihat sukar menandingi era kegemilangan pemerintahan mendiang ibunya, Ratu Elizabeth II.
Penganalisis Ekonomi, Politik dan Hubungan Antarabangsa, Herizal Hazri mengulas bahawa dirinya melihat situasi pemeritahan Britain ketika ini amat berbeza.
Ini termasuk pengaruh dari segi hubungan politik, kewangan, ketenteraan dan ideologi yang bakal diketengahkan baginda.
“Pengaruh di sini tidak semestinya pengaruh politik...pengaruh kewangan, kapital atau ketenteraan. Tetapi juga boleh diambil kira pengaruh dari segi identiti dan sebagainya. Contohnya pemimpin Dalai Lama sangat berpengaruh tetapi dia negara pun tidak ada kerana Tibet sebuah tempat yang sehingga kini pengiktirafan dipertikaikan.
“Maksudnya kena faham pengaruh itu dari banyak segi. Masalah United Kingdom pada hari ini mereka telah hilang pengaruh dari pelbagai segi. Bukan saja dari segi ketenteraan, ekonomi tetapi dari segi ideologi falsafah dan sebagainya,” katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berpendapat apa peranan Raja Charles III untuk memberikan impak lebih signifikan terhadap perkara yang lebih utama dilihat agak terbatas.
“Apa yang mereka ada adalah tradisi dan sejarah, yang ini kita sedang lihat pada hari ini. Tentu sekali untuk tradisional list atau orang yang suka melihat kepada acuan majlis, ini adalah sesuatu yang menarik.
"Tetapi apa yang lebih relevan pada hari ini dan di masa akan datang, sama ada Raja Charles III akan dapat memberikan impak lebih signifikan terhadap perkara yang lebih utama agak terbatas.
“Namun begitu, beliau tidak menafikan populariti Raja Charles III tetap utuh yang berkemungkinan dapat memberikan impak signifikan terutama dalam menyelesaikan isu global terutama berkaitan alam sekitar,” ulasnya.
Herizal juga berharap era pemerintahan Raja Charles III bakal membawa perubahan besar dalam mengangkat serta mendengar idealogi pemimpin serta masyarakat terutama dari negara Komanwel.
#Raja Charles III #Ratu Elizabeth II #Britain #pertabalan Raja Charles III
;