Raja Bhumibol mahu hubungan erat Malaysia-Thailand berpanjangan - TPM
Wan Syamsul Amly
Oktober 24, 2016 18:43 MYT
Oktober 24, 2016 18:43 MYT
Raja Thailand Raja Bhumibol Adulyadej disifatkan sebagai pemerintah yang menjalin hubungan bukan sahaja diplomatik malah perdagangan terbaik dengan Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, baginda juga mempertingkatkan hubungan kerajaan antara dua negara sejak 70 tahun pemerintahannya.
"Rakyat Malaysia mengharapkan agar hubungan dapat diteruskan terutama di dalam program-program keselamatan di antara Polis Diraja Malaysia dan Polis Diraja Thailand serta tentera yang sedia rapat.
"Dalam hubungan ini, soal keselamatan Malaysia dan Thailand harus dipertingkatkan kerana baginda prihatin terhadap isu keselamatan terutama isu sempadan kedua-dua negara," katanya selepas menandatangani buku takziah sebagai penghormatan di atas kemangkatan Raja Bhumibol di kedutaan itu di Jalan Ampang, di sini hari ini.
Baginda yang menduduki takhta selama 70 tahun sejak 1946, menerima rawatan di hospital sejak 3 Okt, 2014.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Raja Bhumibol sebagai lambang tertinggi perpaduan dan sumbangan baginda kepada Thailand dan seluruh rantau ini, adalah melangkaui kata-kata.