Rais Yatim lancar Sudut Pidato AIKOL UIAM

Bernama
November 4, 2014 13:23 MYT
Pidato membabitkan ucapan tentang sebarang perkara berhubung pengajian yang berkaitan dengan fakulti, undang-undang dan keadilan.
Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tan Sri Dr Rais Yatim melancarkan Sudut Pidato Kuliah Undang-undang Ahmad Ibrahim (AIKOL) di universiti itu di sini pada Isnin.
Beliau berkata sudut pidato yang diwujudkan di sekitar kafeteria fakulti itu bertujuan menggalakkan pelajar atau kakitangan universiti itu menyampaikan pidato serta ucapan tentang sebarang perkara berhubung pengajian yang berkaitan dengan fakulti mereka, undang-undang dan keadilan.
"Memang kita akui 'Speaker's Corner' ini dicetuskan oleh barat namun ia telah menjadi satu daripada pemakaian demokrasi, justeru kita terimanya dengan hati terbuka.
"Namun, kami ingin mengingatkan bahawa, gunalah kemudahan ini dengan berwaspada, bertanggungjawab dan mengerti bahawa tidak semua yang ada di negara kita atau di dunia ini bebas daripada peraturan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Sudut Pidato itu di sini.
Turut hadir ialah Dekan AIKOL Prof Hunud Abia Kadouf dan Rektor UIAM Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin.
Rais berkata pemidato juga harus menghormati undang-undang berhubung saman malu, hasutan atau hal berkaitan dengan keselamatan negara.
"Sekiranya seseorang itu menggunakan platform sudut ini dengan waspada, saya yakin apa yang diberi oleh pentadbiran universiti ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin," katanya.
#AIKOL #pidato #speaker corner #UIAM
;