Rais Yatim harap Parlimen Malaysia, Turkiye jalin kerjasama aspek pengurusan, pengendalian

Bernama
Oktober 4, 2022 18:34 MYT
Tan Sri Rais Yatim menerima kunjungan hormat daripada Speaker Parlimen Turkiye, Prof Dr Mustafa Sentop di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berharap hubungan kerjasama antara Malaysia dan Turkiye dapat dijalinkan dari aspek pengurusan dan pengendalian Dewan Negara.
Harapan itu disuarakan beliau ketika kunjungan hormat Speaker Dewan Perwakilan Kebangsaan Turkiye, Prof Dr Mustafa Sentop dan rombongan di Parlimen hari ini.
Rais dalam satu kenyataan berkata, hubungan persahabatan khususnya antara Parlimen kedua-dua negara juga harus ditingkatkan dari aspek kebudayaan.
"Ia perlu diharmonikan oleh Ahli-ahli Parlimen terutama dalam kalangan Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang mampu mengeratkan lagi hubungan dua hala antara dua negara," katanya.
Dalam perjumpaan singkat itu, Rais turut menerima undangan Sentop untuk melakukan lawatan rasmi ke Turkiye pada masa akan datang sebagai lawatan balas beliau ke Malaysia.
Sentop yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia turut berkesempatan melihat sendiri tatacara persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung hari ini.
Turut hadir pada kunjungan hormat tersebut ialah lima Ahli Parlimen Turkiye iaitu Bulent Tufenkci, Adnan Gunna, Burhanettin Bulut, Erhan Usta dan Ramazan Kasli manakala dua senator Dewan Negara yang hadir ialah Datuk Razali Idris dan Aziz Ariffin. - BERNAMA
#Parlimen #Malaysia #Turkiye #Rais Yatim
;