Rais saran wujudkan kawasan warisan 'Dunia Melayu' di Kuala Lumpur
Bernama
Februari 3, 2023 17:18 MYT
Februari 3, 2023 17:18 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disaran mewujudkan satu kawasan khusus warisan 'Dunia Melayu' yang mengandungi segala elemen aspek kehidupan mencerminkan seni budaya tinggi dan warisan Melayu.
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim yang mengutarakan saranan itu berkata, ini kerana setakat ini belum ada kawasan khusus sebegitu untuk tatapan para pengunjung di ibu negara.
"Kita ada Little India di Brickfields dan China Town di Jalan Petaling. Saya amat percaya DBKL mampu merealisasikan hasrat ini untuk menaikkan taraf Bandar Raya Kuala Lumpur, yang akan menjadi tarikan utama pengunjung dalam dan luar negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah di Parlimen di sini.
Rais berkata projek 'Dunia Melayu' itu boleh mengandungi susunan budaya yang menarik perhatian pengunjung luar dan dalam negara termasuk seni, cara hidup budaya tinggi, pertukangan tangan, muzik, seni teater dan makanan warisan Melayu.
Beliau turut berharap DBKL dapat bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memajukan sudut kegiatan seni budaya sekali seminggu di Jalan Tuanku Abdul Rahman serta menggalakkan persembahan teater yang boleh dikunjungi warga seni budaya.
Menurutnya Yayasan Budi yang diasaskannya akan mengikhtiarkan beberapa kemudahan dan kandungan kegiatan budaya pada setiap hujung minggu seperti pameran seni budaya, pemuzik jalanan, pertunjukan seni budaya dan makanan warisan Melayu untuk dipertontonkan dan dinikmati oleh para pengunjung dan warga Kuala Lumpur.
-- BERNAMA