Raikanlah Aidilfitri secara sederhana - Anwar Ibrahim

Nickyson Nyambar
Mei 12, 2021 22:50 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan Aidilfitri yang dikongsi di laman Facebooknya menyeru setiap umat untuk melihat setiap cabaran sebagai ujian dan mengambil ikhtibar daripadanya. - Gambar FB/Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR : Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua umat Islam untuk bersederhana dalam sambutan Aidilfitri kali ini.
Menurut beliau, walaupun sambutan pada tahun ini sekali lagi dibataskan dengan pelbagai cabaran, namun ini adalah masa yang terbaik untuk mengingati insan yang kurang bernasib baik dan untuk terus bersyukur.
"Semoga kita dapat merayakan (Aidilfitri) walaupun keadaan terbatas dan (anggaplah) kekangan yang ada sebagai ujian daripada Allah SWT dan kita harus ambil ikhtibar daripadanya.
"Tetapi janganlah kita lepaskan peluang untuk meringankan beban jiran tetangga, keluarga dan sahabat handai yang kurang bernasib baik, inilah kesempatan sebaiknya," katanya menerusi perutusan Hari Raya Aidilfitri yang dikongsi di laman Facebooknya pada Rabu.
Ujar Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, pelbagai pengorbanan telah dilakukan oleh rakyat ketika ini termasuk tidak pulang ke kampung halaman dalam sambutan Aidilfitri kali ini demi menjaga keselamatan dan kemaslahatan awam.
"Untuk rakyat yang miskin dan susah, ketiadaan bantuan dalam PKP 3.0 kali ini akan menjadikan hari raya mereka sama sahaja seperti hari-hari yang lain.
"Keperitan menanggung kerugian, dibuang kerja dan hilang mata pencarian masih membekas dalam sanubari mereka.
Justeru ,raikanlah Aidilfitri ini secara sederhana, dan jangan biarkan didikan madrasah tarbiyah Ramadan selama sebulan itu beransur pudar," tambahnya.
#Hari Raya Aidilfitri #Raikan sederhana #Ketua Pembangkang #Presiden PKR #Ahli Parlimen Port Dickson #PKP #COVID-19 #Ramadan
;