Raih RM13 juta, sindiket judi dalam talian tumpas, tujuh ditahan

Bernama
Oktober 6, 2023 21:54 MYT
Polis berkata serbuan yang dilakukan pada 1 tengah hari oleh sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Taktik satu sindiket yang membuka pusat panggilan bagi penipuan di dalam talian, di dua unit kondominium di Salak Selatan, akhirnya berjaya ditumpaskan polis yang menyerbu lokasi terbabit dan menahan tujuh lelaki warga tempatan yang terlibat dalam kegiatan itu semalam.
Paling mengejutkan sindiket yang beroperasi sejak April lepas dengan meraih transaksi kemasukan kredit sekitar RM13 juta sebulan, turut dianggotai oleh seorang remaja berusia 14 tahun.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata serbuan yang dilakukan pada 1 tengah hari oleh sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
"Dalam serbuan itu, polis merampas beberapa barangan seperti empat unit monitor, tujuh unit CPU (Unit Pemprosesan Pusat), 18 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan tiga unit modem dipercayai digunakan dalam kegiatan penipuan dalam talian.
Siasatan awal mendapati premis turut digunakan untuk mempromosikan judi dalam talian dan menyasarkan mangsa warganegara Malaysia dan warga asing," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Katanya kesemua suspek yang berusia antara 14 dan 40 tahun itu direman empat hari sehingga 9 Okt ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 120(B) / 420 Kanun Keseksaan dan disiasat bersama Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Pada masa yang sama, Zam Halim menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan yang mencurigakan agar menghubungi talian penting Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, talian penting Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.
-- BERNAMA
#judi dalam talian #Salak Selatan #sindiket #Polis Daerah Cheras
;