Rai 100 tahun penganjuran, MAHA terus pacu sektor pertanian - Mohamad Sabu

Madiha Abdullah
September 9, 2024 18:45 MYT
Mohamad Sabu (dua,kiri) ketika sidang media selepas mengadakan lawatan bersama media sempena 100 Tahun Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS, hari ini. - Foto Bernama
SERDANG: Meraikan 100 tahun penganjuran, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 dijangka bakal menarik lebih tiga juta pengunjung sepanjang 12 hari ia berlangsung.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau berharap pameran itu akan menjadi platform kepada orang ramai khususnya anak muda, untuk meneroka potensi dan inovasi sektor pertanian, sekali gus memacu daya saing dalam membangunkan ekonomi.
Pameran dwitahunan itu dijangka membawa hasil RM6 bilion melalui nilai memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) yang akan dimeterai kali ini.
"Kita berazam untuk meningkatkan sektor pertanian termasuk agrotourism serta bidang pertanian dan ternakan sedia ada seperti padi, ayam, ikan, telur, beras, kerbau, lembu dan sebagainya.
"Ini termasuk mekanisasi peralatan yang diperkenalkan seperti AI IoT, semua itu dapat dipamerkan. Paling penting kita berusaha menarik generasi muda terlibat dalam bidang pertanian dan menjadikan pertanian bidang perusahaan untuk mencapai pendapatan tinggi di masa hadapan," katanya dalam sidang media selepas meninjau persiapan akhir MAHA 2024 di di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), pada Isnin.
Tambahnya, menerusi segmen MAHA Go Global yang diwujudkan tahun ini, ia diharapkan dapat mengangkat MAHA ke peringkat antarabangsa serta membuka peluang usahama dan potensi pelaburan kepada sektor agro makanan negara.
Sebanyak 16 negara telah mengesahkan penyertaan termasuk Jepun, Thailand, Hong Kong, Indonesia dan Brunei.
Dengan tema Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom, MAHA 2024 akan bermula pada 11 September ini dan akan menampilkan 48 segmen melibatkan aktiviti pameran dan jualan, antaranya Kingdom of Fruit, Laman Sayur dan Herba, Laman Perikanan dan Laman Mekanisasi.
Selain Go Global, tujuh fokus utama lain disasarkan dalam MAHA 2024 iaitu Sambutan 100 Tahun MAHA, Pertanian, Kelsetarian, Modal Insan MADANI, Teknologi, Agro Pelancongan dan Pelaburan.
Turut dijangka menarik perhatian pengunjung ialah Magical At Night and Water Show, Kids Attraction, Rhtyhm of Farmers, Agro Fit, Sunflower Garden dan Floating Market.
Mohamad berkata setakat ini persiapan penganjuran MAHA 2024 berjalan dengan baik termasuk mendapat kerjasama utuh daripada semua pihak terlibat.
"Saya boleh katakan lokasi dah 90 peratus bersedia untuk mula menerima kehadiran pengunjung bermula Rabu ini dengan baki kira-kira dua hari ini kita akan bekerja 24 jam untuk pastikan segalanya disempurnakan.
"Baki 10 peratus persiapan itu pun cuma melibatkan sentuhan akhir misalnya melepaskan anak-anak ikan ke dalam kolam, membawa masuk haiwan ternakan ke kawasan pameran selain menanam pokok-pokok bersifat sensitif yang lebih baik dilakukan pada waktu hampir dengan tarikh MAHA bermula," katanya.
Beliau berkata kementeriannya juga sedang berusaha supaya operasi pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT) dilanjutkan bagi memudahkan kedatangan pengunjung memandangkan pameran itu dibuka hingga 10 malam.
Kemudahan lain yang disediakan dan ditambah baik termasuklah bas perantara percuma di beberapa lokasi seperti MRT UPM Putrajaya Wetland dan IOI City Putrajaya.
Turut disediakan ialah 10 unit tram, empat unit trektor dan gerabak, 30 unit bas dan buggy, serta kemudahan parkir khas Orang Kurang Upaya (OKU).
#MAHA 2024 #Mohamad Sabu #Mat Sabu #Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia #pempamer
;