Rahman: Sukar kawal harga rumah kerana ia mudaratkan industri

Aizat Sharif
November 3, 2013 08:13 MYT
Kerajaan sukar untuk melaksanakan pengawalan harga rumah kerana ianya hanya akan memudaratkan industri perumahan di negara ini.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata kesukaran tersebut terjadi kerana berkemungkinan pemaju-pemaju tidak mahu membina rumah terutama yang melibatkan rumah mampu milik.
“Walaupun saya memahami cadangan yang dibuat oleh beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh negara yang inginkan kerajaan mengawal harga rumah, saya secara jujurnya mendapati mekanisme tersebut agar sukar untuk kita laksanakan terutamanya Malaysia ini adalah sebuah negara yang bebas berniaga,” kata Abdul Rahman kepada pemberita.
Menurutnya lagi, sebagai negara yang ‘mesra-perdagangan’, sudah tentu kerajaan tidak mahu mengekang pasaran yang menentukan kedudukan harga barangan kecuali perkara-perkara tertentu yang diletakkan dibawah kawalan subsidi di negara ini.
“Oleh hal demikian, saya menghargai cadangan yang diberikan namun jika ia dilaksanakan ianya akan menimbulkan beberapa lagi isu yang berkait,” katanya lagi.
Antaranya, langkah tersebut hanya akan memudaratkan industri perumahan dengan berkemungkinan pemaju-pemaju perumahan tidak mahu untuk membina rumah.
Dengan itu, ianya akan membuatkan tawaran perumahan dalam pasaran berkurangan dan sekaligus akan secara langsung menaikkan dan memberi tekanan lagi pada harga rumah.
“Apa yang kita lakukan sekarang ialah, menerusi Bajet 2014, Perdana Menteri telah menyenaraikan beberapa tindakan dasar-dasar fiskal terutama mengenai Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dimana sesiapa yang menjual rumah akan dikenakan cukai keuntungan di situ dan ini akan mengurangkan aktiviti spekulasi yang terlalu berleluasa di kawasan-kawasan bandar terutama di kawasan Lembah Klang,” katanya lagi.
Beliau menambah, kerajaan juga telah membuat keputusan untuk mengekang, dalam mengetatkan syarat-syarat pinjaman perumahan dan ini akan dapat mengurangkan aktiviti spekulasi harta tanah.
“Jika selama ini, kerajaan hanya melihat dari segi dasar fiskal, kali ini kita gandingkan pendekatan RPGT dan mengekang (selain) mengetatkan kelayakan untuk mendapat pinjaman, dengan penawaran rumah mampu milik dengan lebih banyak lagi terutama dari agensi seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Jabatan Perumahan Negara dan agensi-agensi perumahan kerajaan-kerajaan negeri dan ini akan menawarkan lebih banyak lagi rumah di pasaran rumah mampu milik, ianya juga akan memberi kestabilan terhadap harga rumah,” kata Abdul Rahman.
Pendekatan ini agak berbeza sedikit kerana dahulu, kerajaan menggunakan kaedah RPGT dengan berharap harga rumah tidak dinaikkan sewenang-wenangnya namun sekarang pula, lebih banyak rumah mampu milik akan dibina dalam masa lima tahun ini.
“Saya rasakan dalam tahun-tahun akan datang ini, harga rumah akan lebih stabil dan tidak akan naik seperti yang kita rasai sekarang ini. Sebanyak 80,000 unit rumah dibawah PR1MA akan dibina dan ditambah antara 80,000 dan 100,000 unit pada tahun hadapan. Diharapkan kita mampu mencapai tahap 1 juta rumah mampu milik dalam masa lima tahun ini,” kata beliau.
Beliau yang ditemui selepas membuat lawatan di Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau mengulas gesaan yang dibuat oleh beberapa NGO yang mahukan kerajaan mewujudkan mekanisme bagi mengawal harga rumah yang kian melambung tinggi ekoran tindakan spekulator dan pemaju.
#Abdul Rahman Dahlan #DUN #Menteri Kesejahteraan Bandar #Perumahan dan Kerajaan Tempatan #PRK #sg limau
;