Rafizi tolak dakwaan integriti data PADU

Bernama
Mac 5, 2024 11:25 MYT
Rafizi berkata, dakwaan jumlah pendaftaran dan kemas kini maklumat yang rendah dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) disebabkan isu integriti data adalah tidak tepat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Dakwaan jumlah pendaftaran dan kemas kini maklumat yang rendah dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) disebabkan isu integriti data adalah tidak tepat, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau berkata hal ini kerana PADU mengandungi data yang diintegrasikan daripada pelbagai sumber termasuk agensi kerajaan Persekutuan dan negeri serta badan berkanun yang mempunyai semua profil maklumat individu dan isi rumah.
"Data semua ini telah ada, yang kita mahukan adalah supaya ia dikemas kini, apabila ia dilaksanakan tidak timbul mengapa saya tidak dapat (bantuan), kenapa saya begitu dan sebagainya.
"Kalau data yang ada dalam PADU itu dikira tidak tepat, semua data yang dalam sistem kerajaan daripada Persekutuan, negeri, Lembaga Zakat dan sebagainya pun tidak tepat kerana maklumat itu datang daripada data-data ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan R. Yuneswaran (PH-Segamat) yang ingin tahu langkah kerajaan untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam sistem PADU susulan kebimbangan berhubung keselamatan data.
Rafizi berkata jumlah mereka yang telah mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam sistem PADU tidak boleh dibandingkan dengan jumlah rakyat Malaysia secara keseluruhan, sebaliknya perlu mengambil kira jumlah isi rumah.
"Kebimbangan bahawa pendaftaran yang ada sekarang (setakat) 25 Feb lepas ialah 3.79 juta (sudah mendaftar). Kita selalu lihat kepada beberapa perspektif iaitu kita tengok berapa yang telah kemas kini berbanding dengan jumlah warganegara 30 juta orang.
"Apabila kita bandingkan jumlah kemas kini itu, ia tidak boleh banding dengan 30 juta ... kena banding dengan jumlah isi rumah. Isi rumah ketika ini ialah 7.9 juta dan oleh sebab bujang dan golongan tidak berkeluarga dikira sebagai satu isi rumah, jumlah isi rumah dijangka naik kepada 9 juta," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata pihaknya akan memastikan seberapa banyak keluarga dan individu akan memanfaatkan sepenuhnya tempoh berbaki sebulan ini (sebelum tamat 31 Mac) untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam sistem berkenaan.
"Ada golongan merasakan bahawa mereka tidak layak dapat subsidi bersasar, mereka tak nak kemas kini, ada golongan pula akan menunggu saat akhir hingga 31 Mac baru mendaftar dan ada yang mungkin terkejar-kejar untuk kemas kini selepas kerajaan umum subsidi bersasar.
"Tapi (ini semua) tidak mengganggu perancangan bahawa semua data maklumat isi rumah ini mestilah tersedia menjelang 31 Mac untuk membolehkan program sosioekonomi kerajaan yang seterusnya beralih kepada kaedah pendapatan boleh guna isi rumah bersih," katanya.
PADU dilancarkan pada 2 Jan lepas dibuka kepada orang ramai untuk membuat pengemaskinian hingga 31 Mac ini dengan fasa dua dijangka bermula pada April hingga Jun 2024 yang akan melibatkan pembangunan algoritma mengikut keperluan use case berpandukan data dalam PADU.
-- BERNAMA
#Sistem Pangkalan Data Utama #Rafizi Ramli #PADU #jumlah pendaftaran yang rendah #Dewan Rakyat