Rafizi sifatkan SYABAS dan Puncak Niaga nampak dangkal kerana mahu saman

Astro Awani
Februari 21, 2014 09:10 MYT
Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli menyifatkan keinginan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya sebagai ‘dangkal’ apabila sanggup membazirkan wang membayar peguam untuk menyaman beliau.
Dalam satu kenyataan awal hari ini, Rafizi berkata menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang wakil rakyat untuk mengkritik prestasi SYABAS di atas kelemahan perancangan dan operasi syarikat itu yang telah menyebabkan kesukaran kepada penduduk di Lembah Klang.
“Saya tidak dapat menerima alasan bahawa dua LPA iaitu Batu 11 Cheras dan Bukit Tampoi ditutup kerana kandungan ammonia di dalam air sungai melebihi kapasiti pemprosesan yang dibenarkan di dua LPA itu sedangkan sekiranya LPA itu dinaiktaraf lebih awal, ia boleh menangani air sungai yang mempunyai kandungan ammonia lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kenapa SYABAS dan dan syarikat loji pembersihan air (LPA)
melalui Puncak Niaga tidak bertindak proaktif dari awal untuk menaiktaraf LPA sedia ada bagi mengelakkan masalah bekalan air sekarang .
“Puncak Niaga sudah pun bersetuju untuk memasang sistem penapis (filtering system) yang menggunakan Sodium Aluminosilicate yang menelan belanja RM5 juta yang dijangka akan meningkatkan keupayaan kedua-dua LPA itu memproses air berkandungan ammnoia yang lebih tinggi dari 1.5 mg/liter.
“Masalahnya, pemasangan sistem penapis baru ini akan mengambil masa lebih enam bulan dari sekarang dan tidak akan menyelesaikan masalah bekalan air sekarang,” tambahnya.
Dalam pada itu, Rafizi turut mencadangkan tindakan segera jangka pendek kepada SYABAS untuk menggunakan kolam-kolam air berdekatan hilir Sungai Langat bagi mencairkan air sungai yang digunakan oleh LPA Bukit Tampoi.
Tindakan jangka pendek itu pada pendapatnya perlu dilaksanakan segera kerana ia hanya melibatkan kos sekitar RM360,000 sebulan.
SYABAS pada Khamis menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Rafizi atas kenyataanya yang disifatkan sebagai 'fitnah dan tidak benar' dan menegaskan bahawa tugas memastikan tiada pencemaran pada sungai dan empangan adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri Selangor.
Rafizi pada 17 Februari lalu telah membidas SYABAS serta mendakwa syarikat itu 'tidak proaktif' dalam membantu rakyat negeri Selangor ketika berlakunya krisis air.
Antara perkara utama yang dibidas Rafizi ialah sikap SYABAS yang didakwa menyalahkan faktor semulajadi termasuk kemarau, menjadi punca krisis air di negeri itu.
#Loji Penapisan Air #LPS #Puncak Niaga #Rafizi Ramli #saman #SYABAS #Syarikat Bekalan Air Selangor
;