Rafizi selamat jalani prosedur stent jantung, sedang berehat - Saifuddin

Bernama
Oktober 25, 2023 12:40 MYT
Rafizi dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) selepas dilaporkan mengalami serangan jantung. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli selamat menjalani pemasangan stent jantung minggu lepas dan kini sedang berehat, demikian menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung PKR berkata perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh sumber terdekat dengan Rafizi.
"Dia selamat (jalani prosedur stent jantung) dan sekarang berehat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Jubli Intan 75 Tahun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini.
Mendoakan kesihatan Rafizi, Saifuddin Nasution berkata beliau percaya Rafizi akan kembali sihat dengan rehat yang cukup.
Pada 21 Okt lepas, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memaklumkan Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR kini dalam keadaan stabil.
Dr Zaliha turut mengesahkan Rafizi dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) selepas dilaporkan mengalami serangan jantung.
-- BERNAMA
#Rafizi Ramli #serangan jantung #pengesahan #Saifuddin Nasution
;