Rafizi sambut baik cadangan SPR Sabah daftar semula 13 juta pengundi negara

Haider Yutim
Julai 5, 2013 18:33 MYT
Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli hari ini menyambut baik cadangan dari Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah Datuk Md Idrus Ismail supaya 13 juta pengundi di Malaysia didaftarkan semula bagi 'membersihkan' daftar pemilih.
"Saya menyambut baik saranan itu kerana ia selaras dengan perjuangan pihak kami selama ini. Bila kita kata ia perlu dibersihkan... selama ini kita beri kelonggaran dan pertimbangan kepada SPR untuk memutuskan bagaimana untuk membersihkan daftar pemilih," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR pada Jumaat.
Menurut beliau, selama ini pihak pembangkang telah pun mengemukakan bukti tentang adanya 'penipuan' dalam pilihan raya, namun tiada tindakan yang diambil.
Bagaimanapun, kata Rafizi selepas cadangan itu dibuat oleh pegawai kanan SPR, beliau berharap akan ada maklumbalas daripada pengerusi atau timbalan pengerusi suruhanjaya itu.
"Sebelum ini pandangan untuk bersihkan daftar pemilih itu dibuat oleh pembangkang, dia tolak hidup-hidup... sekarang ni adalah cadangan yang dibuat oleh pengarah SPR negerinya sendiri di Sabah yang dibuat dalam satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI)," kata beliau yang juga anggota parlimen Pandan.
Berikutan itu, Rafizi juga memberitahu pihaknya akan membuat tindakan susulan tentang perkara itu yang disifatkannya sebagai 'bukti kukuh' tentang apa yang selama ini disyaki oleh pengundi.
Katanya lagi, jika perkara itu tidak ditangani atau diberi respon, ia boleh meningkatkan lagi keraguan orang ramai terhadap sistem daftar pemilih negara.
Semalam, Md Idrus dalam satu kenyataan kepada RCI Mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah, berkata pelaksanaan pendaftaran semula pemilih mampu menjamin wujudnya rang daftar pemilih yang berwibawa.
Beliau berkata meskipun langkah itu bukan urusan mudah, ia adalah cara terbaik untuk menangani pelbagai perkara seperti kematian pemilih yang tidak dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pertukaran alamat pemilih.
Bagaimanapun, kata beliau ia memerlukan komitmen SPR serta kerajaan untuk melaksanakannya.
Md Idrus berkata lebih 13 juta nama terkandung di dalam rang daftar pemilih dan terdapat kira-kira tiga juta warganegara yang layak menjadi pemilih, tetapi tidak mendaftarkan diri dengan SPR.
#daftar pemilih #Rafizi Ramli #RCI #Sabah #SPR
;