Rafizi sahkan akan hadir ke IPD Sentul petang ini

Afiezy Azaman
September 3, 2022 11:45 MYT
Timbalan Presiden PKR itu dipanggil polis susulan dakwaannya yang mengaitkan Abd Latiff dengan isu berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS). - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli mengesahkan akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada jam 3 petang ini susulan laporan polis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Abd Latiff Ahmad.
Timbalan Presiden PKR itu dipanggil polis susulan dakwaannya yang mengaitkan Abd Latiff dengan isu berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS).
"Saya dipanggil polis untuk dirakam kenyataan ekoran laporan polis yang dibuat Abd Latiff. Saya akan hadir pada jam 3 petang ini di IPD Sentul.
"Saya harap pihak polis juga bertindak secepat mungkin seperti ini untuk siasat laporan yang dibuat Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir terhadap Abd Latiff," katanya melalui ciapan di Twitter, pada Sabtu.

Saya dipanggil polis utk dirakam kenyataan ekoran laporan polis yang dibuat Latiff Ahmad. Saya akan hadir pada jam 3 petang ini di IPD Sentul. Saya harap pihak polis juga bertindak secepat mungkin (seperti ini) untuk siasat laporan yang dibuat @akmalnasir terhadap @drabdlatiff pic.twitter.com/ZFHRQzHeu0

— Rafizi Ramli (@rafiziramli) September 3, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada Khamis, polis sudah mengambil keterangan Abd Latiff, berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, hari sebelumnya.
Sebelum ini Rafizi menyiarkan empat kenyataan pada 22, 25, 26 dan 29 Ogos lalu di blog dan menyiarkan semula di Facebook, Twitter dan TikTok.
Rafizi mendakwa Abdul Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.
Pada 22 Ogos lalu, Abd Latiff, yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan dilaporkan menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya.
BACA: 'Isteri-isteri saya tiada nama Zainab Mohd Salleh' - Abd Latiff
Abd Latiff dilaporkan berkata, beliau juga bersedia memberikan kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu.
Dalam perkembangan yang sama, Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir turut membuat laporan polis ke atas Abd Latiff berkaitan isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Selasa lalu.
Akmal Nasrullah berkata, laporan polis yang dibuat itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan di bawah Kanun Keseksaan sekiranya berlaku sebarang unsur salah guna kuasa, pecah amanah atau rasuah dalam skandal berkenaan.
#LCS #Rafizi Ramli #IPD Sentul #Abd Latiff Ahmad
;