Rafizi perlu mohon maaf atau berdepan tindakan undang-undang - Wee

Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 31, 2017 15:39 MYT
Jelas Wee (kanan) Florence Goh, individu yang disebutkan dalam kenyataannya itu adalah silap dan tiada kaitan dengan urusan melobi seperti yang didakwa. - Foto Astro AWANI
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Kah Siong hari ini menyelar kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mendakwa kerajaan menggunakan bekas pembantu kempen Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk melobi kepentingan di negara itu.
Jelas beliau Florence Goh, individu yang disebutkan dalam kenyataannya itu juga adalah silap dan tiada kaitan dengan urusan melobi seperti yang didakwa.
“Satu laporan polis telah dibuat tentang dakwaan Rafizi itu oleh Florence. Biar pihak polis bersihkan nama dia dan dalam masa yang sama apa yang dia minta dari Rafizi adalah permohonan maaf.
"Yang kedua sila pastikan semua yang didakwa. Anda telah membuat kesilapan bodoh atas dakwaan yang serius. Dan yang ketiga Florence berhak mengambil tindakan undang-undang sebagai pilihan,” kata Wee dalam satu sidang media di sini hari ini.
Dalam pada Florence yang turut hadir pada sidang media yang diadakan di Putrajaya itu menggesa agar Rafizi bertindak membersihkan nama dan syarikatnya.
“Rafizi telah membuat tuduhan yang silap ke atas nama saya dan syarikat saya sebagai Godfrey. Saya bukan individu tersebut dan saya tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak dalam artikel yang dilaporkan. Saya adalah pelatih profesional dalam bidang teknologi maklumat. Untuk dia membuat dakwaan sedemikian adalah sangat memberi kesan buruk pada saya,” kata Florence.
Florence bertegas agar ahli parlimen Pandan itu segera berbuat permohonan maaf secara terbuka atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
#lobi #Putrajaya #Rafizi Ramli #Wee Kah Siong
;