Rafizi perjelas tindakan letak tangan ke belakang tanpa gari
Israr Khalid
April 9, 2016 21:31 MYT
April 9, 2016 21:31 MYT
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kesal tindakannya meletakkan tangan ke belakang walaupun tanpa bergari semasa diiring ke Mahkamah Majistret Putrajaya, Rabu lalu dimanipulasi sesetengah pihak.
Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan bahawa ia sebagai menghormati arahan pegawai yang ditugaskan untuk mengendali beliau, bukan berniat untuk 'bermain wayang' demi meraih simpati sepertimana didakwa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Pada awalnya, Rafizi mencadangkan bahawa lebih baik dirinya digari bagi mengelak pegawai polis yang mengendalikannya dikecam pihak UMNO dan pegawai tertinggi polis sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini.
Bagaimanapun ia mengundang rasa serba salah pegawai polis terlibat kerana khuatir tindakan mereka akan mengundang kritikan.
"Jika mereka menggari saya, penyokong pembangkang akan memarahi mereka. Jika mereka tidak menggari saya, besar kemungkinan mereka terpaksa menjawab kepada pimpinan tertinggi polis menjelaskan kenapa mereka tidak menggari.
"Akhirnya mereka cuba mencari jalan terbaik dengan mengarahkan saya meletakkan tangan di belakang sambil dipegang oleh mereka yang pada pandangan mereka merupakan budi bicara mereka yang adil kepada semua.
"Saya yakin saya tidak perlu berlakon untuk meraih simpati rakyat kerana sebahagian besar rakyat adalah bersama-sama saya selagi pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak berterusan menekan rakyat," tegasnya.
Kata Rafizi, anggota polis adalah rakyat biasa dan mereka juga tersepit seperti rakyat biasa tetapi tertakluk kepada arahan pihak atasan.
Saya juga ingin menyeru semua pihak, baik Barisan Nasional atau Pakatan Harapan, baik rakyat atau pegawai tertinggi PDRM supaya berhenti mempolitikkan layanan terhadap seorang ahli politik apabila beliau ditahan oleh PDRM atau mana-mana pihak berkuasa.
Secara peribadi, beliau berpendapat bahawa seorang ahli politik perlu diberi layanan yang sama sepertimana rakyat biasa.
Pada masa sama, pegawai-pegawai polis yang diberi tanggungjawab wajar diberi kebebasan membuat keputusan mengendalikan tahanan mengikut budi bicara masing-masing tanpa campur tangan pihak atasan atau pihak lain, selagi budi bicara itu tidak melanggar peraturan dan undang-undang.
Rafizi turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penyiasatan kesnya di atas sikap profesionalisme dan budi bicara mereka selain layanan penuh hemah yang diberikan sepanjang proses penahanan dan siasatan.