Rafizi: Perjanjian konsesi tol harus disemak semula

T K Letchumy Tamboo
Februari 6, 2014 18:34 MYT
Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengalu-alukan keputusan kerajaan Persekutuan untuk tidak mengenakan sebarang kenaikan tol di semua konsesi di Lembah Klang sepanjang tahun ini.
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata keputusan itu merupakan satu kejayaan kepada suara rakyat dan gerakan protes yang terus membantah sebarang kenaikan harga.
Namun demikian, Rafizi bertegas bahawa perjanjian konsesi yang telah memberi keuntungan besar kepada pemegang konsesi wajar disemak semula.
“Pemegang konsesi yang telah mendapat pulangan modal sepenuhnya dari pelaburan tidak wajar terus mengenakan tol pada kadar yang tinggi atas alasan ingin mendapat pulangan pelaburan.
“Perjanjian konsesi perlu dikemaskini dengan angka terbaru kadar kenderaan yang menggunakan dan perbelanjaan pengurusan dan penyenggaraan yang terkini supaya kadar tol yang disemak nanti bukanlah untuk memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada pemegang konsesi,” kata Rafizi di dalam suatu kenyataan media.
Rafizi berkata sekiranya kedua-dua konsep mudah ini dilaksanakan di dalam rundingan semula konsesi tol, tidak akan ada syarikat pemegang konsesi yang mendapat kadar keuntungan sehingga 50 ke 60 peratus seperti sekarang.
“Keuntungan yang berlipat kali ganda dari pelaburan dan kos ini menunjukkan bahawa perjanjian konsesi sekarang benar-benar berat sebelah.
“Atas arahan kabinet sendiri agar rundingan semula perjanjian konsesi dipertimbangkan, saya menyeru supaya matlamat rundingan semula itu adalah untuk melaksanakan kedua-dua konsep di atas, bukannya untuk memanjangkan lagi tempoh konsesi sebagai pampasan kepada arahan tidak menaikkan tol,” katanya.
Sementara itu, Rafizi berkata keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dibuat dalam tahun 2012 untuk membenarkan kenaikan premium kereta setiap tahun sehingga tahun 2016, akan membebankan rakyat.
Kadar baru premium insuran kereta akan dikuatkuasakan bermula 15 Februari 2014 ekoran dari keputusan menaikkan kadar premium insuran tahunan itu.
“Kenaikan premium insuran adalah satu lagi bebanan kepada rakyat yang meningkatkan kos pemilikan kereta yang sudah pun tinggi akibat keengganan BN menghapuskan duti eksais ke atas kenderaan.
“Kadar premium insuran kereta adalah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia dan berada sepenuhnya di dalam kawalan kerajaan persekutuan. Kenaikan kadar premium insuran tidak boleh disalahkan kepada mana-mana pihak lain kecualilah BN kerana kelulusan kenaikan premium insuran itu diberikan oleh BN,” katanya.
Rafizi turut menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan arahan segera supaya kenaikan kadar premium insuran kereta dibekukan serta merta mengambil kira kesusahan rakyat sekarang.
Beliau juga berkata sekiranya kenaikan premium insuran kereta ini diteruskan juga, ia akan menjadi salah satu dari isu yang akan dibawa di Pilihan Raya Kecil Kajang kelak.
#konsesi #Pilihan Raya Kecil Kajang #Rafizi Ramli
;