'Rafizi oh Rafizi ... susah dia ini, kalau tak tahu tolong tanya' - Saravanan
Umavathi Ramayah
Oktober 12, 2022 20:05 MYT
Oktober 12, 2022 20:05 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri M Saravanan menempelak Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang disifatkan sudah ketandusan model dan mengikut 'telunjuk' DAP apabila berbicara tentang isu pekerja asing.
"Apabila Lim Guan Eng kata, isu pekerja asing tidak selesai, Razifi pula ikut apa yang diutarakan oleh Guan Eng, kebetulannya isu pekerja asing sudah pun selesai.
"Rafizi oh Rafizi ... susah dia ini, saya ulang balik apa yang saya kata pada Guan Eng, Rafizi kalau tak tahu tolong tanyalah.
Beliau berkata demikian. ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Rafizi mengenai isu kemasukan pekerja asing yang belum diselesaikan kerajaan.
Mengulas lanjut, Saravanan menjelaskan, sehingga hari ini terdapat lebih kurang 1.1 juta pekerja asing di negara ini.
Beliau memberitahu, sejak negara memeterai perjanjian bersama Bangladesh dan Indonesia, dalam tempoh tiga bulan bermula Julai (hingga September) lalu, seramai 159,000 pekerja sudah dibawa masuk manakala sebanyak 255,000 lagi sudah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.
"Dengan ini, lebih kurang 1.6 juta pekerja asing sudah selesai sementara seramai 644,000 lagi sedang dalam proses pemeriksaan biometrik dan perubatan di negara-negara sumber dan bererti keperluan semasa negara terhadap tenaga kerja warga asing sudah selesai.
"Mereka akan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat selepas ini dan kalau Rafizi tidak tahu, tolong tanya, tidak payahlah buat ceramah politik ... macam tidak ada modal lain pula," tambahnya.