Rafizi jemput @YBViral berdepan, henti selindung identiti dan budaya sebar pembodohan

Firdaus Azil
Disember 15, 2023 11:50 MYT
Rafizi berkata beliau ingin menjemput individu tersebut yang sering menganggapnya sebagai ‘menteri paling bodoh’, untuk bersama mengadakan perbincangan di dalam Sesi Podcast "Yang Bakar Menteri". - Foto X/Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR: Antara ancaman terbesar kepada negara ialah berleluasanya budaya menyebarkan pembodohan, yang kini diperturunkan kepada rakyat biasa yang meletakkan diri mereka sebagai pempengaruh, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Dalam catatan terbaharu di laman X, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, golongan tersebut sentiasa memainkan sentimen yang tidak memberikan gambaran dan perspektif sebenar, dengan tujuan memesongkan kefahaman rakyat mengenai satu-satu perkara.
Mengambil contoh seorang pempengaruh yang dikenali sebagai @YBViral, Rafizi berkata, individu berkenaan menganggap dirinya sebagai wakil rakyat, tetapi hampir setiap hari mencarut dan memaki hamun di TikTok.
“Saya berpandangan budaya ini perlu ditangani. Cara menanganinya adalah supaya pimpinan politik seperti saya berdepan sendiri dengan rakyat dalam satu sesi untuk menjawab dan bertanya. Rakyat tanya saya jawab, saya tanya kepada rakyat (untuk berkongsi pemahaman), maka wajarlah rakyat jawab.
“Tetapi dengan syarat janganlah berselindung di belakang identiti digital yang disalahguna untuk mencipta pembohongan. Bila berdepan dengan identiti sendiri, bersedialah untuk disaman dan diambil tindakan undang-undang jika ada fitnah yang dibuat,” katanya lagi.

YBM = YANG BAKAR MENTERI Satu ancaman terbesar kepada usaha negara kita ialah berleluasanya budaya menyebarkan pembodohan yang kini diperturunkan kepada rakyat biasa yang meletakkan diri mereka sebagai pempengaruh. Dengan adanya platform media sosial (terutamanya Tiktok), pic.twitter.com/KkHXi7vDga

— Rafizi Ramli (@rafiziramli) December 15, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Justeru, Rafizi berkata beliau ingin menjemput individu tersebut yang sering menganggapnya sebagai ‘menteri paling bodoh’, untuk bersama mengadakan perbincangan di dalam Sesi Podcast "Yang Bakar Menteri".
Tambahnya lagi, pejabat beliau telah menghantar surat jemputan kepada individu tersebut, untuk menghadiri podcast berkenaan pada 8 Januari 2024, atau mana-mana tarikh yang dipersetujui antara kedua-dua pihak.
Katanya lagi, individu berkenaan diminta tampil dengan mengisi borang maklumat peribadinya dan mengembalikan borang ke pejabat kementerian, dan berkata – “Insya-Allah saya bagi ruang seluasnya untuk dia bakar saya dan buktikan saya menteri paling bodoh, seperti yang dijerit-jeritnya selama ini”.
#Rafizi Ramli #media sosial #podcast #YB Viral
;