Rafizi hendak minyak RM1.61 seliter? Tunggulah masa kamu perintah negara - Hasan Malek

Wan Syamsul Amly
Januari 1, 2015 12:10 MYT
HASAN MALEK: Rafizi hendak minyak RM1.61 seliter? Tunggulah masa kamu perintah negara - Gambar fail
Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli dinasihat 'menunggu' masa mereka untuk memerintah negara dan mengumumkan harga minyak mengikut kemahuan sendiri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, seandainya belum memerintah, semua harus maklum kerajaan sedia ada mempunyai mekanisme sendiri untuk menentukan harga minyak di pasaran.
"Biarlah Rafizi begitu, kita buat perkiraan kita dan dia ada perkiraannya sendiri. Itu hak dia untuk umumkan harga minyak versinya.
"Dia boleh kalau hendak umum harga minyak tetapi tunggu masa dia memerintah negara. Kita umum harga baru minyak ini selepas buat pelbagai kajian dan perbincangan melalui kementerian dan pelbagai pihak, rakyat juga nampaknya terima dengan baik harga baru ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hasan mengulas kenyataan Rafizi yang menggesa kerajaan menurunkan lagi harga minyak ke paras RM1.91 seliter untuk RON95 selain RM1.64 untuk seliter diesel.
Kerajaan pada Rabu mengumumkan rarga runcit bagi RON95 ditetapkan pada RM1.91 seliter, RON97 pada RM2.11 seliter manakala diesel berharga RM1.93 seliter berkuatkuasa 1 Januari 2015.
Dalam pada itu kata Hasan, Pakatan Rakyat (PR) turut dilihat tidak menganjurkan sebarang demonstrasi dan 'membisu' selepas penurunan harga minyak yang diumum kerajaan.
"PKR mengancam untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran sekiranya kerajaan masih enggan menurunkan harga bahan api menjelang 1 Disember namun kita sudah turunkan, jadi mereka kini membisu," jelasnya.
Rafizi sebelum ini memaklumkan mahu mengadakan di Dataran Merdeka pada malam tahun baru seandainya harga petrol RON95, RON97 dan diesel masih tidak diturunkan.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Hasan merayu peniaga untuk menurunkan harga barangan rentetan penurunan harga minyak hari ini.
"Semasa minyak naik harga, peniaga bising dan naikkan harga makanan serta barangan. Sekarang harga minyak sudah turun, jadi turunkan semula harga barangan jualan .
"Bukan tidak boleh untung tetapi jangan berlebihan, jangan ambil kesempatan dan ikhlas dalam berniaga. Tolonglah sama-sama membantu dalam isu ini," jelasnya.
Dalam perkembangan berasingan, Hasan turut menjelaskan pelbagai aduan palsu yang diterima melalui sistem WhatsApp mengenai kenaikan melampau harga makanan di daerah yang terjejas dengan banjir.
Tegasnya, orang ramai perlu mengemukakan bukti kenaikan harga barang berlaku dan tidak hanya 'bising' di dalam sistem WhatsApp sahaja.
"Kalau betul, buat aduan ke 03 8888 2625/6088. Setakat ini tiada aduan yang dilapor oleh orang ramai kepada pegawai yang bertugas.
"Inilah susahnya jika banyak yang mahu menjadi penyampai di dalam WhatsApp tanpa mengesahkan isu, akhirnya dia menyusahkan semua orang," ujarnya.
Dalam pada itu kata Hasan, dia akan 'turun' sendiri ke beberapa pasar di Kelantan dan kawasan terjejas banjir pada Jumaat dan membuat pemeriksaan mengenai harga barangan.
"Saya akan tengok sendiri, pasar mana saya akan pergi...tunggu sahaja harinya esok dan pemeriksaan akan dibuat di beberapa lokasi secara rambang," katanya.
#banjir #diesel #hasan #Keadilan #malek #minyak #Rafizi #RON95 #turun
;