Rafizi dakwa SPR beri kontrak topi kepada orang sama

Nabihah Hamid
Julai 23, 2013 16:57 MYT
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa penyerahan kontrak dakwat kekal dan pembekalan topi sewaktu proses pilihan raya ke-13 adalah dari tiga syarikat yang dikawal individu yang sama.
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata individu berkenaan adalah Mohamed Salleh Alli yang didapati menggunakan tiga syarikat pembekal topi.
"Melalui semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), syarikat-syarikat tersebut mempunyai hubung kait secara langsung dengan Mohamed Salleh Alli," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau juga mendakwa penganugerahan kontrak rundingan secara terus itu sekaligus melanggar garis panduan yang ditetapkan.
Garisan panduan permohonan perolehan secara terus menetapkan semua perolehan kerajaan melebihi RM200,000 mestilah diuruskan secara tender.
"Keputusan SPR menganugerahkannya kepada tiga syarikat berlainan milik orang yang sama memberi gambaran bahawa anugerah kontrak rundingan terus ini cuba disembunyikan dari pengetahuan pihak berkuasa dan orang ramai,"
Ahli parlimen Pandan itu menganggarkan kontrak topi tersebut bernilai RM6 juta.
"Keseluruhan kontrak mungkin bernilai RM 6 juta berdasarkan 300,000 pegawai dan 250,000 petugas SPR.
"Jika satu topi berharga RM20, didarabkan dengan keseluruhan jumlah tersebut, secara kasar, ia berjumlah RM6 juta," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi Astro Awani menjelaskan satu kenyataan media akan dikeluarkan esok untuk menjawab dakwaan Rafizi itu.
"Kami akan mengeluarkan kenyataan esok berhubung dakwaan Rafizi itu," katanya.
#Rafizi Ramli #SPR #syarikat #topi
;