Radzi bincang pembukaan semula sekolah dengan wakil PIBG di Labuan

Bernama
September 5, 2021 19:12 MYT
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin pada Sesi Libat Urus Warga Pendidik dan Kakitangan Jabatan Pendidikan Labuan Bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Labuan hari ini. - Foto BERNAMA
LABUAN: Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin hari ini mengadakan siri pertama perbincangan bersemuka dengan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah menengah dan rendah di sini, mengenai pembukaan sesi persekolahan pada 3 Okt depan.
Perbincangan tertutup itu dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang membabitkan 50 wakil dari 17 sekolah menengah dan 10 sekolah rendah. Antara perkara yang dibincangkan adalah pandangan dan cadangan daripada PIBG mengenai pembukaan sekolah secara berperingkat.
Radzi turut mengadakan perbincangan dengan guru besar dan pengetua mengenai sistem yang sesuai bagi pembukaan semula sesi persekolahan dan prosedur operasi standard (SOP).
Beliau dijadual menyambung perbincangan dengan para guru berhubung isu sama esok.
Radzi dalam lawatan kerja dua hari ke Labuan bermula hari ini, lawatan sulung beliau ke pulau bebas cukai itu setelah dilantik sebagai Menteri Pendidikan.
-- BERNAMA
#Menteri Kanan Pendidikan #Radzi Jidin #perbincangan bersemuka #PIBG #Sekolah Menengah #sekolah rendah #sesi persekolahan #buka sekolah
;