Radius pencarian tekong bot nelayan hilang diperluas

Nur Fazlizai Ali
April 9, 2022 01:30 MYT
Operasi pencarian yang disertai lebih 80 kekuatan diperluaskan sehingga ke perairan Pahang. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Radius pencarian seorang tekong bot nelayan tempatan yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki karam, diperluaskan sehingga ke perairan Pahang.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, sektor pencarian merangkumi hampir 400 batu nautika persegi melibatkan sektor udara dan laut.
Muhammad Suffi berkata mengikut keadaan angin dan arus laut, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa dihanyutkan sehingga ke perairan Pahang.
Katanya lebih 80 kekuatan juga turut diatur gerak dalam misi Carilamat mangsa yang memasuki hari ketiga.
Jelasnya sebanyak sebelas bot nelayan tempatan juga turut menyertai pencarian mangsa yanga berusia 62 tahun itu.
Beliau berkata sehingga kini tiada sebarang tanda penemuan berkaitan mangsa menerusi pencarian di udara dan laut.
Pada Rabu seorang tekong bot nelayan dilaporkan hilang, selepas bot dinaiki bersama dua lagi awak-awak karam di perairan Pulau Kapas, Marang.
Bagaimanapun kedua awak-awak yang berusia 48 dan 60 tahun berjaya itu berjaya diselamatkan manakala tekong Wan Mustapha Ayob, 62, masih hilang.
#SAR #tekong #nelayan #karam