Radio platform terbaik 'memerangi' bahasa rojak
Bernama
Februari 13, 2024 04:40 MYT
Februari 13, 2024 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: Sering dianggap sebagai pekerjaan glamor, hakikatnya kerjaya penyampai radio memikul tanggungjawab bukan sahaja dalam menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan kepada masyarakat bahkan berperanan untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Dengan anggaran jumlah pendengar radio kira-kira 21.2 juta di Semenanjung Malaysia pada 2023, radio disifatkan sebagai antara platform terbaik yang mampu mempengaruhi masyarakat dalam 'memerangi' penggunaan bahasa rojak.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bahasa rojak yang merupakan bahasa campuran lebih daripada satu bahasa mengundang kebimbangan pakar bahasa apabila penggunaannya semakin menjadi trend dalam kalangan generasi muda termasuk pelajar sekolah.
Kebimbangan ini turut dirasai dua penyampai radio senior tanah air yang mengakui bahawa suara daripada konti radio dapat mendidik pendengar menggunakan bahasa Melayu yang betul dengan nada, kosa kata serta sebutan tepat, selain dapat menambah perkataan baharu dan meningkatkan pengetahuan masyarakat.
"Kita ada bahasa Melayu yang indah, teratur, cantik, bahasa pantun dan syair. (Dengan keindahan bahasa itu) di mana lagi penyampai radio hendak pentaskan bahasa Melayu yang paling baik selain menerusi radio?," kata Halim Othman, 59, dalam temu bual bersama Bernama Radio sempena Hari Radio Sedunia pada Selasa.
Berkongsi pengalaman sebagai penyampai radio lebih 20 tahun, Linda Onn, 45, pula berkata beliau pernah ditegur oleh penerbit program pada ketika itu, Kudsia Kahar kerana mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris semasa ke udara.
"Saya hanya menyebut satu perkataan bahasa Inggeris iaitu 'call' ketika mengendalikan satu program bahasa Melayu dan ditegur oleh penerbit, Kudsia yang mempersoalkan sama ada saya bekerja di radio bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
"Saya beri alasan sudah terbiasa guna perkataan 'call' tetapi ditegaskan Kudsia tidak boleh kerana ini siaran berbahasa Melayu. Katanya (Kudsia), jika mahu bercakap Inggeris anda perlu cakap Inggeris dalam ayat yang penuh," kata Linda.
Beliau berkata, teguran itu diingati hingga ke hari ini untuk tidak sesekali 'merojakkan' bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sama ada ketika bersiaran mahupun menghadiri mesyuarat.
Melihat dunia penyiaran radio semakin berkembang maju, Linda menganggap kerjaya sebagai penyampai radio tidak hanya mematangkan dirinya dalam memertabatkan bahasa kebangsaan, tetapi juga dalam pelbagai aspek termasuk isu semasa yang tidak hanya berkaitan dengan industri hiburan semata-mata.
Disambut pada 13 Feb setiap tahun, Hari Radio Sedunia bertujuan menghargai peranan radio sebagai medium penyampai maklumat selain menjadi platform hiburan dan industri muzik di seluruh dunia. - BERNAMA